Saturday, April 5, 2014

I Love I Care


"Hulurkan bantuan, ringankan beban"



 بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم


       Ingatkah lagi kalian pada tabung “I LOVE I CARE”? Atau nama singkatan yang lebih dikenali dengan tabung ILIC? Tabung ini telah dilancarkan oleh Unit Kebajikan batch Gen09 pada sesi yang lepas. Dengan sukacitanya, barisan pimpinan batch 2013/2014 telah sebulat suara sebulat hati untuk meneruskan lagi kutipan tabung ILIC  pada sesi kali ini. Ia akan dikelolakan oleh Unit Kebajikan Gen09.


APAKAH OBJEKTIF PELAKSANAAN TABUNG ILIC?


1.  Mengurangkan beban sesiapa sahaja baik siswa mahupun siswi dalam kalangan ahli Gen09 yang menuntut di Mesir yang menghadapi masalah atau ditimpa apa-apa musibah.


2. Menyediakan pinjaman kepada ahli Gen09 yang memerlukan.

3. Merupakan medium ataupun platform di mana seluruh ahli Gen09 dapat bersama-sama menjaga kebajikan antara satu sama lain.

4. Melatih sifat gemar menginfaqkan harta dan suka bersedekah sekaligus mengikis sifat kikir dan bakhil dalam kalangan ahli gen9.

5. Memupuk rasa kasih dan sayang serta ukhuwah yang erat antara sesama ahli.


BERAPAKAH KADAR KUTIPAN TABUNG ILIC?

1. Setiap siswa dan siswi Gen09 akan menginfaqkan 60 LE untuk tempoh setahun (12 bulan) bermula pada April 2014 sehingga April 2015.

2. Siswa dan siswi Gen09 diberi pilihan untuk membayar penuh LE 60 setahun ataupun membayar secara beransur-ansur dengan jumlah LE 5 sebulan untuk tempoh 12 bulan.

3. Sekiranya siswa dan siswi Gen09 mempunyai sebarang masalah kewangan dan merasa terbeban dengan kutipan ILIC, aduan boleh diajukan terus kepada unit kebajikan batch ataupun mana-mana jawatankuasa pimpinan batch Gen09.

4. Pihak kami sangat mengalu-alukan sekiranya terdapat mana-mana ahli Gen09 yang mahu memberi dan menginfaq melebihi daripada jumlah yang ditetapkan.


SUMBANGAN

       Sekiranya berlaku masalah kewangan yang berat seperti kehilangan sejumlah wang yang banyak atau memerlukan sejumlah wang yang banyak dengan kadar yang segera seperti membayar yuran, kemasukan wad atau kecemasan atau apa jua kes yang melibatkan kewangan dan kos yang tinggi, kalian hendaklah memaklumkan perkara tersebut kepada Unit Kebajikan Gen09 untuk mendapatkan sumbangan. Kadar sumbangan adalah mengikut kadar jumlah semasa tabung ILIC.

PINJAMAN

       ILIC juga menawarkan khidmat pinjaman wang kepada mana-mana ahli Gen09 yang memerlukan. Kadar pinjaman juga adalah mengikut jumlah semasa tabung ILIC dengan syarat-syarat yang tertentu.

ETIKA / PROSEDUR SUMBANGAN ATAU PINJAMAN

• Prosedur Sumbangan: Ahli yang memerlukan sumbangan ILIC hanya perlu memaklumkan masalah yang dihadapi kepada Ketua / Timbalan Ketua Unit Kebajikan Gen09 tanpa melalui teknikal borang. Sumbangan juga boleh diserahkan kepada mana-mana ahli mengikut pertimbangan Ketua / Timbalan Ketua Unit Kebajikan Gen09.

• Prosedur Pinjaman:  Ahli yang memerlukan pinjaman tabung ILIC hendaklah memaklumkan masalah yang dihadapi kepada Ketua / Timbalan Ketua Unit Kebajikan Gen09 dan perlu mengisi borang pinjaman ILIC mengikut terma dan syarat yang telah ditetapkan.

 STATUS / PERKEMBANGAN TABUNG ILIC SEMASA

1. Untuk makluman bersama, simpanan tabung ILIC semasa, iaitu baki pada tahun sebelumnya hanya berjumlah 1000 LE. Jumlah ini jika dinilai masih tidak mampu untuk menampung dan tidak mempunyai simpanan kewangan yang kukuh dan utuh untuk kita semua.

2. Pihak kami memohon maaf kerana rekod keluar masuk atau catatan akaun tabung ILIC  adalah sulit kerana ianya melibatkan maruah dan privasi individu. Secara amnya, tabung ILIC pada sesi lepas mampu menyumbang sejumlah wang kepada ahli batch yang ditimpa masalah atau dugaan yang melibatkan kes-kes  seperti berikut:-

a. Kematian ahli keluarga terdekat
b. Kecurian telefon bimbit dan laptop
c. Kecurian wang saku yang banyak
d. Pecah masuk rumah
e. Kesesakan wang

3. Pihak kami mensasarkan pada tahun ini, kutipan akan mencecah jumlah 3000 LE dalam satu-satu masa, tidak lain tidak bukan demi kemaslahatan dan kebajikan kita bersama. Diharapkan siswa dan siswi Gen09 sekalian tidak bertangguh untuk menginfaqkan 60 LE yang secara zahirnya amatlah sedikit jika mahu dibandingkan dengan jumlah biasiswa yang kita terima.
 

PERINGATAN BERSAMA SEBAGAI HAMBA ALLAH DI MUKA BUMI

       Allah SWT berfirman dalam ayat 10, Surah Al-Munafiqun yang bermaksud: “Dan infaqkanlah sebahagian dari apa yang telah Kami berikan kepadamu sebelum kematian datang kepada salah seorang di antara kamu, lalu dia berkata (menyesali), “Ya Tuhanku, sekiranya Engkau berkenan menunda (kematian) ku sedikit waktu lagi, maka aku dapat bersedekah dan aku akan termasuk orang-orang yang soleh.”

       Seterusnya,Allah berfirman dalam ayat 11, Surah Al-Munafiqun, yakni ayat terakhir: “Dan Allah tidak akan menunda (kematian) seseorang apabila waktu kematiannya telah datang. Dan Allah Maha Teliti terhadap apa yang kamu kerjakan.”

       Allah mengingatkan kita dalam ayat 10 dan ayat 11 Surah Al-Munafiqun supaya jangan bertangguh untuk bersedekah kerana bersedekah merupakan amalan yang mulia, yang dapat menyelamatkankan kita daripada seksaan api neraka sedangkan kikir dan bakhil adalah sifat yang dikeji dalam agama Islam. Kematian pula akan datang tidak mengira waktu dan usia. Tidak mustahil kita akan mati di usia muda tatkala amalan yang dilakukan sangat sedikit. Jangan sampai di akhirat kelak, kita menyesal dan merayu-rayu untuk kembali semula ke dunia semata-mata untuk bersedekah disebabkan amalan kita yang tidak cukup.


Sedekah bagaimana yang paling afdhal?

       Tersebutlah sebuah hadith dari Abu Hurairah r.a katanya: ‘Seorang lelaki bertemu Rasulullah SAW lalu bertanya: “Wahai Rasulullah! Sedekah mana satu yang lebih besar?” Nabi  SAW  menjawab: “Engkau bersedekah ketika sihat dan sangat sayangkan hartamu; ketika engkau  takutkan kepapaan dan berharap hendakkan kaya-raya. Janganlah engkau bertangguh untuk  bersedekah, sehingga apabila nyawa sampai ke kerongkong, barulah engkau berkata: Aku mahu bersedekah untuk si fulan.. sekian untuk si fulan dan sekian lagi untuk si fulan.” 
( Hadis Riwayat Al-Bukhari )

       Nilai sedekah yang sebenar, semakin dirasakan berat untuk menginfaqkan harta, maka semakin afdhal lah untuk kita mengeluarkan harta tersebut.

       Jadi, dengan sukacitanya pihak kami, Unit Kebajikan Gen09 2013/2014 sekali lagi mengajak sahabat siswa dan siswi sekalian untuk bersama-sama menggunakan medium tabung ILIC ini sebagai salah satu cara untuk berinfaq. Ingatlah, wang yang kita miliki di saat ini bukan lah hak kita yang hakiki, bahkan ianya rezeki daripada Allah SWT. Wang yang kita ada tidak boleh dibawa ke liang lahad mahupun membeli ganjaran pahala di akhirat kelak, melainkan digunakan semata-mata menuju keredhaan Allah.

       Sedekah juga merupakan pemisah antara golongan mukmin dan munafik seperti ayat 10 dan 11 dalam Surah Al-Munafiqun di atas. Ikhlaskan hati dalam bersedekah/berinfaq kerana sudah tentu ganjaran pahala yang dijanjikan Allah SWT adalah sangat besar dan sangat kita harapkan.

       Pepatah arab ada berbunyi “Tangan di atas lebih baik daripada tangan di bawah.” Di dunia kita menuai, di akhirat kita mendapat hasilnya biiznillah.



Jazakumullahu Khairan Kathiiraa.
Wallahua’lam :))


"Spread the Love"

Unit Kebajikan batch Gen09 2013/2014

Ketua: Amir Fikri Bin Zulhilmi
Timbalan: Mastura Binti Bukhari





Gen09 GEN09 MEMBER

Do things with passion or not at all.

No comments: