Showing posts with label Laporan. Show all posts
Showing posts with label Laporan. Show all posts

Saturday, March 15, 2014

Laporan Program Fiqh Munakahat

Pada Hari Ahad 9 Mac yang lalu, Unit Pembangunan Insan Gen09 telah berjaya menjalankan kelas Fiqh Munakahat yang bertempat di Markaz PERUBATAN Abou Risy. Kelas tersebut yang bermula pada pukul 7.00 malam itu mengulas serba sedikit tentang Kitab Ihya' Ulumuddin, Bab Adab Nikah karangan Imam Al-Ghazali yang disyarahkan oleh Ustaz Muhammad Noorazam Bin Bahadur.

Antara yang hadir.
 Perkara yang dibincangkan ialah Kebaikan dan keburukan didalam sesuatu perkahwinan.

Imam Al-Ghazali menjelaskan bahawa terdapat 5 faedah yang boleh diambil daripada bernikah.

  • Zuriat sebagai penyambung amal.
  • Menjaga diri daripada hasutan syaitan, dengan menyalurkan hawa nafsu kepada jalan yang benar.
  • Merehatkan dan menjinakkan jiwa dengan duduk bersama pasangan.
  • Menghilangkan keserabutan dalam berfikir tentang hal-hal mengurus rumah, baik lelaki mahupun perempuan.
  • Mujahadah nafsu.


Ustaz Azam menjawab beberapa soalan yang diajukan.
Imam Al-ghazali turut menjelaskan beberapa keburukan yang mungkin boleh terjadi.

  • Kemungkinan rezeki dicari daripada sumber yang tidak halal atas keterdesakn kerana tidak mampu menampung keluarga.
  • Tidak dapat menunaikan tanggungjawab dengan baik.
  • Isteri dan anak-anak menjadi punca melalaikan diri daripada zikrullah.
Penyampaian sedikit cenderamata kepada Ustaz Azam.
Kelas tersebut berakhir kira-kira jam 9.30 malam yang diakhiri dengan sesi soal jawab.
Moga-moga program seperti ini dapat memberikan sedikit sebanyak manfaat kepada ahli batch Gen09 seterusnya mengakhiri zaman bujang batch ini yang nampak tidak berkesudahan.

Saturday, April 27, 2013

[Laporan] Perjumpaan Majlis Tertinggi Batch bersama Encik Zikril


Mohandiseen, 18 April 2013 – Satu pertemuan antara Majlis Tertinggi Batch dengan Encik Muhammad Zikril Azan bin Abdullah selaku pegawai JPA telah berlangsung di Pejabat Kedutaan Besar Malaysia Kaherah. Pertemuan yang berlangsung selama hampir 3 jam itu dimulakan dengan sesi taaruf oleh ahli Majlis Tertinggi Batch bersama Encik Zikril, yang kemudiannya disusuli dengan perbincangan mengenai masalah dan isu yang timbul dalam kalangan ahli batch.

Majlis Tertinggi Batch telah membawa beberapa isu yang dibangkitkan oleh ahli batch Gen09 sendiri untuk disampaikan kepada Encik Zikril. Isu pertama yang dibangkitkan adalah berkaitan permohonan pembaharuan passport di Mesir, memandangkan kebanyakan ahli Gen09 akan tamat tempoh sah passport sekitar Mei tahun hadapan. Menurut Encik Zikril, permohonan untuk memperbaharui passport di Mesir hendaklah dibuat selewat-lewatnya tiga bulan sebelum tarikh tamat tempoh dan permohonan hendaklah dibuat di Pejabat Kedutaan Besar Malaysia Kaherah. Selain itu juga, pelajar tidak dibenarkan untuk keluar dari Mesir enam bulan sebelum tamat tempoh sah passport melainkan untuk pulang ke Malaysia.

Timbalan Ketua Batch, saudari Nur Syafekar binti Zaini turut mengajukan soalan berkenaan kewajaran  penggunaan kad ATM untuk mengeluarkan wang elaun. Secara ringkasnya, Encik Zikril menjelaskan tiada masalah sekiranya ada pelajar yang ingin berbuat demikian. Pelajar hanya perlu membuka akaun baru kerana wang elaun akan dimasukkan ke akaun baru tersebut dalam mata wang genih.

Berkenaan isu kondisi kelas yang kurang selesa, Encik Zikril turut memberikan perhatian yang sewajarnya mengenai masalah tersebut. Ujar Encik Zikril, beliau akan turut memanjangkan masalah tersebut kepada Timbalan Dekan Universiti Kaherah, Dr. Amina. Juga, masalah ponteng kelas yang semakin berleluasa turut ditimbulkan. Jika masalah ponteng kelas ini masih berterusan, pihak JPA boleh bertindak untuk menyekat kemasukan elaun pelajar tersebut.

Antara isu lain yang turut dibangkitkan adalah berkenaan prosedur permohonan perkahwinan dan kenaikan elaun. Permohonan untuk berkahwin hendaklah disertakan bersama borang permohonan berkahwin, kebenaran ibu bapa dan salinan keputusan peperiksaan. Encik Zikril turut menasihatkan agar membuat persiapan dari segi mental dan fizikal kerana tanggungjawab akan bertambah selepas berkahwin. Berkenaan kenaikan elaun pula, pihak JPA akan mengkaji semula kadar elaun setiap lima tahun. Sebarang perubahan pada kadar elaun akan dimaklumkan oleh pihak JPA.

Sebagai penutup, Encik Zikril turut memberi peringatan mengenai isu keselamatan yang semakin meruncing di Mesir. Beliau mengingatkan pelajar agar tidak ambil mudah tentang keselamatan diri walaupun terdapat ramai pelajar Malaysia di kawasan Sayyeda Zainab. Beliau juga berharap agar pertemuan bersama jawatankuasa batch ini bukanlah pertemuan yang terakhir, dan sebarang masalah boleh diajukan terus kepada beliau.

Sesi pertemuan diakhiri dengan penyampaian hadiah hari lahir kepada Encik Zikril oleh Ketua Batch, saudara Afifi Syamil bin Abdul Razak. 



Disediakan oleh,

Nurul Aisyah binti Muda
Setiausaha,
Jawatankuasa Gen 09 2012/2013

Monday, August 6, 2012

salam perantauan



‘Salam perantauan’


Assalamualaikum dan salam 1 Malaysia..kami pelajar tahun 4(Alhamdulillah..) jurusan PerubatanUniversiti Kaherah ingin mengucapkan selamat berpuasa dan selamathari raya aidil fitri kepada keluarga, sanak-saudara nun jauh di mata dekat di hati, guru-guru, professor-profesor, dan seluruhwarga Malaysia yang mengenali diri ini..semoga persekolahan ramadhan kali ini membawa seribu makna dan memandu diri kearah redha Ilahi, “sempurnakan ramadhanmu”(eceehh…promot ihram plak). Dari kiri-ZubairZukeri, Afiq Kamaludin Latifi, Ikram Shahrom, Aimatnuddin Husairi Hussain(maaf tiada dlm gambar, dibimbangi m’ganggu jiwa2 ak****).


*haaahh..mesti korg dgki kami org masuk salam perantauan kn..kn?(jadah ape lh makhluk ni)
*tujuan coretan karut ini hanya lh utk memasukkan senarai p’gerakn ahli ketika musim panas di dlm blog yg dingin ini(ramai jgk blk sini bln 10,kuang asam.. :p), tiada kene mengena dgn yg hidup mahupun tlh mnggal dunia..sekian 



Friday, April 20, 2012

[ LAPORAN ] FAMILY DAY SISWI


Hadiqah Azhar , 13April 2012 – Pada Jumaat yang lalu , satu program “Family Day SISWI” telah dianjurkan di Hadiqah Azhar . Program ini dianjurkan dengan kerjasama Biro Sukan dan Aktiviti Luar (BSAL) dan Biro Akademik Gen 09 . Program ini melibatkan semua pelajar siswi Gen 09 .

Objektif program ini adalah untuk mengukuhkan lagi ukhuwah yang terjalin dalam kalangan ahli siswi Gen 09. Selain itu , program ini bertujuan untuk  memberi ruang dan peluang kepada ahli siswi sendiri untuk mengisi masa hujung minggu dengan riadah santai secara jemaah . Antara aktiviti yang diadakan adalah , “Explorace” , “Pot Luck” dan juga penyampaian hadiah .

Aktiviti dijadualkan bermula pada pukul 9 pagi . Namun demikian , peserta-peserta telah hadir seawal jam 8.30 pagi . Sebelum memulakan aktiviti , Pengarah program  , Saudari Aimi Syahirah binti Serba Jalil memberikan penerangan ringkas kepada semua peserta tentang cara permainan . Selain itu , beliau turut mengingatkan semua peserta agar menjaga keselamatan sepanjang aktiviti berlangsung . Sebelum aktiviti dimulakan , peserta diberikan “tag” khas yang dipakaikan di pergelangan tangan . Peserta juga diingatkan agar menjaga “tag” tangan tersebut sebagai amanah . Tepat jam 9.30 pagi aktiviti bermula .

Aktiviti dimulakan dengan aktiviti “Explorace” . Dalam aktiviti ini , peserta telah dibahagikan kepada 4 kumpulan . Setiap kumpulan membawa imej tersendiri berdasarkan warna pilihan kumpulan masing-masing . Antara kumpulannya adalah , Kumpulan Tiger , Kumpulan Pororo , Kumpulan Zinnirah dan Kumpulan Humairah .. Setiap kumpulan dikehendaki untuk pergi ke semua “check point” untuk mendapatkan klu terkumpul dan klu untuk ke “check point” seterusnya . Namun , untuk mendapatkan klu misi, setiap kumpulan perlulah melepasi ujian yang telah disediakan di setiap “check point” tersebut . Bukan itu sahaja , setiap kumpulan juga perlu untuk menjawab beberapa soalan “trivia” sebelum dapat memulakan ujian yang telah ditetapkan . Soalan “trivia” yang diberikan adalah soalan berkaitan fakta perubatan.

Setelah berjaya menamatkan aktiviti di setiap “check point” ,setiap kumpulan dikehendaki berkumpul di “check point” terakhir dan menyelesaikan misi khas yang diberikan . Misi terakhir tersebut adalah meneka siapakah pengkhianat dalam kumpulan mereka berdasarkan klu misi yang berjaya diperoleh di setiap “check point” .Aktiviti “Explorace” berakhir dengan setiap kumpulan perlu meneka siapakah talam dua muka dalam kumpulan mereka .

Misi kumpulan pengkhianat pula adalah menggagalkan setiap ujian di setiap “check point” sekaligus menggagalkan kumpulan mereka untuk mengumpul klu misi  . Selain itu , mereka juga perlu mendapatkan “tag” tangan yang bertanda merah di bahagian belakang “tag” daripada mana-mana ahli kumpulan mereka yang mempunyainya .

Sementara menunggu pengumuman pemenang , semua peserta telah sama-sama menjamu selera . Usai sahaja jamuan makan , upacara penyampaian hadiah berlangsung . Dimulakan dengan penyampaian cenderahati kepada AJK Pelaksana yang terlibat . Majlis diteruskan lagi dengan membongkarkan identiti sebenar pengkhianat-pengkhianat dalam setiap kumpulan . Semua peserta rata-rata terkejut setelah identiti mereka dibongkarkan . Namun , ada juga kumpulan yang telah berjaya meneka dengan tepat siapakah pengkhianat kumpulan mereka . Seterusnya , majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada kumpulan yang berjaya . Kumpulan Zinnirah dan Kumpulan Humairah masing-masing menerima hadiah saguhati . Naib juara pula disandang oleh Kumpulan Tiger . Manakala juara pula digondol oleh  Kumpulan Pororo . Penyampaian hadiah diserikan lagi dengan penyampaian hadiah bagi kategori kumpulan “awesome” . Bagi kategori ini , pemilihan adalah berdasarkan penilaian daripada pihak Pengarah , Timbalan Pengarah serta AJK Pelaksana . Kumpulan Tiger yang merupakan naib juara keseluruhan telah berjaya dinobatkan sebagai kumpulan paling “awesome”.

[ SISWI GEN 09 ]

Aktiviti tamat sekitar jam 1 tengah hari dan diakhiri dengan sesi fotografi . Meskipun keletihan , semua peserta berasa amat gembira dengan program yang dianjurkan .

Walaupun program seperti ini julung kali diadakan , namun program ini sedikit sebanyak membantu mengeratkan lagi ukhuwah  yang sudah terjalin dalam kalangan ahli siswi Gen 09 . Diharapkan agar program sebegini akan diadakan lagi pada tahun akan datang .


Disediakan oleh,
Nur Alyaa binti Abdul Majid

Sunday, February 26, 2012

[Bendahari Gen09] "Wang Anda,Amanah Kami"


Bismillahirrahmaanirrahim...

-"tahun ni rasa macam banyak betul guna duit.."
-"status kewangan jatuh merudum la tahun ni.banyak mende nak kene bayar"
-"bila elaun nak masuk ni.bendahari dah kejar aku bila nak bayar yuran"


banyak duit,bahagia ke??

AMARAN: Post ini ditulis secara santai kerana penulis memang tak mampu nak buat ayat skematik(ayat kesusateraan melayu arakian shahadan bagai tu memang dah berkarat dalam otak neh).but don't judge a post by its language.yang penting point kan?

Kami pihak bendahari mengambil inisatif untuk menerangkan kepada anda bagaimana kewangan batch kita diuruskan(dah macam ayat skema pulak dah).kira macam behind the scene la kot neh.

1)yuran 30 genih setahun,berbaloikah?
Tahun ini,setiap ahli gen9 dikenakan yuran batch hanya 30 genih.jujur saya pernah membuat survey tidak rasmi tentang yuran batch lain dan hasilnya yuran batch kita paling rendah setakat ini.(kajian tak rasmi,kalau anda tau ada yang lagi rendah boleh betulkan).sebelum keputusan yuran batch dikeluarkan,kami telah berbincang berapa yuran yang dirasakan sangat relevan dan tidak membebankan ahli(kami juga ahli,maka tak nak laa jua bayar banyak-banyak huhu).dan setelah diambil kira dari segala prospek kegunaan batch maka 30 genih adalah tema tahun ini.


2)dah bayar,then??
dalam organisasi batch terdapat 5 unit.maka kami bahagikan duit yang ada kepada setiap unit mengikut kadar keperluan:
-biro akademik :LE 500
-biro kebajikan :LE 1000
-biro pembangunan insan :LE 400
-biro tugas-tugas khas: LE 200
-biro sukan dan aktiviti luar:LE 100



pengiraan belanjawan,perlu mengikut keperluan,bukan keinginan

apa yang dinyatakan diatas adalah CADANGAN peruntukan untuk setiap biro mengikut keperluan.namun peruntukan boleh ditambah jika memerlukan kerana setelah dibahagi mengikut biro,masih terdapat baki.kiranya jika zulfahmi atau shazwani(biro akademik)perlukan duit untuk hadiah kuiz sebagainya boleh minta pada bendahari.

3)"Owh macam tu.jadi kerja bendahari ni memang kira duit jela??"
em lebih kurang...eh idok laa keje kire duit je.antara gerak kerja bendahari adalah:
-mewujudkan akaun batch bersama siswa dan siswi.yuran LE30,baki tahun terdahulu dan duit tambahan hasil penggunaan inventori dimasukkan dalam akaun
-akaun berasingan antara siswa dan siswi juga diwujudkan.akaun ini diwujudkan spesifik untuk kegunaan siswa atau pon kegunaan siswi. ini kerana kebanyakan program dibuat oleh pihak siswa.contohnya
~seperti program MP3 dan program bubura asyura.jadi, pihak siswa sahajalah yang perlu membayar untuk program tersebut.
~akaun siswi juga adalah untuk setiap program yg khusus bagi siswi sahaja sperti program syria baru-baru ini.

4)"pihak siswa macam banyak buat program je.habeslaa duit batch"
-tidak.seperti kenyataan diatas.kalau program siswa sahaja,duit akan dikutip dari pihak siswa sahaja dan baki pon akan dimasukkan ke akaun siswa(akaun berasingan)

5)"tapi kan dah bayar yuran batch,tapi still lagi nak kene bayar kertas photostate nota-nota.macam mana tu??"
secara logik,LE 30 tidak cukup untuk membayar segala nota yang banyak dan tebal.maka setiap duit untuk nota-nota ringkas dan murah akan menggunakan duit batch dari akaun bersama(contoh:photostate ikut rumah yang berkos rendah,crossword microb)
setiap duit untuk nota-nota yang tebal-tebal dan mahal-mahal, kutipan duit baru akan dijalankan.


6)tak kan tu je kot??
Oh ya.juga disediakan peruntukan untuk menerbitkan Al-Jauhar serta tabung kecemasan batch(di bawah biro kebajikan)

rasanya setakat ini sahaja perkara mengenai status kewangan batch yang ingin diperjelaskan dan setelah ditolak tambah,baki duit batch setakat ini (23 Februari 2012) adalah LE1800.25. Sebarang pertanyaan boleh diajukan terus kepada syafieq shukri atau nur akma.

~wang anda,amanah kami.maka setiap sen(irsy) yang diberi tidak dipandang ringan.jutaan terima kasih kepada semua ahli gen9 yang memudahkan gerak kerja kami dan sentiasa memberi kerjasama :)

p/s :err sape nak jelaskan yuran batch yang tertunggak boleh la bayar.dan sape nak mendermakan wang untuk batch sangat laa dialu-alukan

Laporan oleh : Nur Akma Anis Tajuddin



Sunday, January 1, 2012

[Laporan] SC Gabungan, satu kejayaan.


SC GABUNGAN: REVIVING THE SPIRIT OF ISLAM
Laporan oleh: Muhamad Huzaifah Fadhil bin Mohd Noor

SAYYEDA ZAINAB , 24 Dis:  Satu majlis anjuran Biro Pembangunan Insan (BPI) PERUBATAN telah berlangsung di Markaz Perubatan Abou Risy baru-baru ini. Majlis yang diberi nama Smart Circle(SC) Gabungan itu berlangsung dengan jayanya. Majlis tersebut dihadiri oleh hampir keseluruhan pelajar tahun 3 Universiti Kaherah serta wakil PERUBATAN, saudara Muhammad Azizul Hakim bin Azizul dan saudari Nihal binti Mohd Tarmizi.
Majlis bermula sekitar jam 6.00 petang dengan ucapan aluan Pengerusi Majlis, saudara Amir Fikri. Majlis diberkati dan berkahi dengan bacaan doa oleh saudara Farhan Radhuan. Dengan bertemakan “Reviving The Spirit Of Islam” beberapa penerapan nilai-nilai Islam cuba dihidupkan kembali antaranya bacaan al-Quran yang  telah disampaikan oleh Faiz Zaib, Huzaifah dan juga Mu’izzudin mengikut qiraat yang berbeza.  
                Dalam ucapan perasmian yang disampaikan oleh saudara Muhammad Azizul Hakim b Azizul, Ketua Biro Ekonomi PERUBATAN, beliau menjelaskan kepentingan SC itu sendiri dalam kehidupan sebagai seorang pelajar dan juga dai’e. Di samping itu, beliau menyelitkan kepentingan berpersatuan dalam kalangan pelajar perubatan itu sendiri yang mana mampu memupuk semangat bekerjasaman dan kepimpinan.

Sekitar Majlis

Majlis diteruskan dengan kupasan tajuk “شباش يعلم حتى" - 'Sehingga Para Pemuda Mengetahui'  karangan Dr. Abdullah Nasih Ulwan dan telah disampaikan oleh Ustaz Abu Salman dari Kaherah. Beliau menerangkan syiar ummat Islam yang harus dipegang oleh semua Muslim iaitu; Allah matlamat kita, Rasulullah teladan kita, Al-Quran panduan hidup kita, jihad jalan juang kita serta mati di jalan Allah, cita-cita yang tertinggi. Selain itu, beliau juga ada menekan tentang peranan mahasiswa Islam pada masa kini.
Selesai ceramah, majlis diserikan lagi dengan beberapa slot menarik. Antaranya, slot yang diberi nama ‘Slot X’ menampilkan persembahan bersahaja daripada kumpulan nasyid batch, The One diketuai oleh Saudara Ahmad Munir. Tidak ketinggalan ‘Slot Motivasi’ yang dikelola oleh Saudara Suaidi tampil mengisi ruang majlis pada malam itu. Kata-kata semangat dan pesanan serta tip-tip yang amat berguna bersempena peperiksaan yang bakal menjelang turut dikongsi bersama.

 "The One"


Menurut Ketua Batch Gen 09, saudara Ahmad Aizzuddin, beliau menyifatkan majlis pada malam tersebut merupakan satu kejayaan bagi PERUBATAN kerana berjaya memberikan satu kelainan serta impak yang positif kepada para pelajar dari segi pengetahuan Islam  di samping mengeratkan ukhuwah itu sendiri dalam kalangan pelajar tahun 3. Beliau yang juga turut hadir bersama dalam majlis tersebut tidak melepaskan peluang berucap menyampaikan beberapa  amanat penting kepada pelajar sebelum saja majlis berakhir. 

 "Wakil PERUBATAN menerima sedikit cenderamata"


Majlis SC Gabungan menutup tirai dengan acara penyampaian cenderamata yang telah disempurnakan oleh Ketua dan Timbalan Ketua Batch Gen 09 kepada pelajar-pelajar yang menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam subjek pangajian tahun 3. 

Lagi gambar di sini.

Friday, November 18, 2011

Laporan Microb Day.


“MICROB DAY: PERMULAAN YANG HAMBAR TETAPI PENGAKHIRAN YANG BERJAYA”

SAYEDA ZAINAB, RABU: Baru-baru ini, pelajar-pelajar tahun 3 Universiti Kaherah telah mengadakan satu program akademik di bawah seliaan AJK Akademik Gen 09, Ahmad Zulfahmi bin Sha’ari yang bersifat “tutorial” atau perbincangan bagi kos mikrobiologi. Program tersebut yang diberi nama “Microb Day” telah diadakan di Bait Langit Ke-7 dan di bawah kendalian pengarah merangkap Subjek Master Microbiology, saudara Muhammad Afiq Hidayat bin Mohamed.
Menurut iklan yang telah digembar-gemburkan di laman web social “Facebook” dijadualkan pada asalnya untuk bermula sebaik sahaja azan Maghrib dikumandangkan dengan aktiviti solat Maghrib berjemaah pada jam 5.00 petang, namun disebabkan beberapa masalah teknikal, “Microb Day” terpaksa ditunda dan akhirnya bermula kira-kira jam 6.30 petang sebaik sahaja pelajar-pelajar selesai menunaikan solat Isyak berjemaah. 
















               Program tersebut telah dimulai dengan agenda makan malam berjemaah, telah dibahagikan kepada 2 sesi yang berbeza, sesi “tutorial” dan sesi kaji soalan. Kedua-dua sesi tersebut telah diketuai oleh “tutor” yang telah dilantik oleh pengarah iaitu saudara Muhammad Suaidi bin Mohamad Sazali, Muhammad Zharief Afzal bin Md Kassim dan juga pengarah sendiri. Para pelajar yang hadir diberi kebebasan untuk memilih “tutor” yang mereka sukai seterusnya dapat menfokuskan lagi ilmu yang hendak disampaikan oleh “tutor” kerana bilangan pelajar yang sedikit bagi setiap kumpulan tersebut.        
Dalam ucapan perasmian yang disampaikan oleh pengarah, beliau menjelaskan konsep perbincangan yang diguna pakai ialah berbentuk “tutorial” sama seperti konsep kelas “tutorial” di universiti-universiti tempatan.  Beliau tuut memberitahu bahawa perbincangan yang diadakan pada hari ini akan mengfokus kepada “Basic Bacteriology” dengan memberi tumpuan yang lebih kepada topik 8 dan 9. Selain itu, beliau turut menegaskan bahawa perbincangan yang bakal dijalankan bersifat dua hala dan memerlukan kepada kerjasama dan juga kebersamaan para pelajar dalam memanfaatkan lagi perbincangan tersebut. Beliau turut menasihatkan agar pelajar tidak terlalu bergantung kepada “tutor” tapi berusaha berkongsi dalam menjayakan “tutorial” tersebut.
Pelbagai respon positif  yang telah diberikan oleh para pelajar yang turut serta dalam program tersbut antaranya saudara, Muhammad Syiham bin Rosli, yang mengatakan secara keseluruhan beliau berpuas hati dengan program tersebut dan menekankan agar konsep “perbincangan dua hala” sentiasa disemat di minda pelajar agar program tidak berubah menjadi seolah-olah menerima tunjuk ajak pensyarah di kelas. Selain itu, saudara Ahmad Shahir bin Nazari mengulas bahawa beliau merasakan keseluruhan program adalah baik namun susun atur cara majlis kurang jelas menyebabkan para pelajar lari dari fokus. Beliau turut mengatakan tayangan cerita sedikit hambar.

  















Secara keseluruhan, program “Microb Day” sangat bermanfaat dan pelbagai faedah yang diperoleh oleh pelajar-pelajar yang hadir. Namun, pengarah turut memesan agar program ini menjadi tolakan untuk kita lebih berusaha untuk mengulang kaji matapelajaran yang dikatakan “killer subject” ini. Penulis serta ramai lagi pelajar mengharap program-program seperti ini dapat dijalankan lagi dan tidak tertakluk kepada subjek “Microbiology” sahaja tetapi turut kepada subjek-subjek lain. Masih terdapat lagi ruang-ruang pembaikan dan penambahan yang boleh dilakukan agar kebaikan secara maksima dapat diberikan kepada ahli Gen 09 ini. Berita dilaporkan oleh wartawan Gen 09, saudara Ahmad Naufal bin Basri.

Wednesday, September 14, 2011

LAPORAN MAJLIS GEN IX RIANG RIA SYAWAL “UKHUWAH FILLAH ABADAN ABADA”

Pada 15 Syawal 1432 Hijrah bersamaan 13 September 2011 Masihi yang lepas, siswa Gen IX telah mengadakan satu majlis sambutan Hari Raya bertempat di rumah saudara Syiham di Sayyeda Zainab.
Majlis tersebut telah dicadangkan oleh saudara Ahmad Kamil dan saudara Syiham lalu dipanjangkan kepada pemerhatian Ketua Batch, saudara Ahmad Aizzuddin. Beliau kemudiannya melantik saudara Amir Asymunir menjawat jawatan pengarah program dan beberapa siswa lain sebagai ahli jawatankuasa (AJK) pelaksana program. Pembahagian tugas merangkumi Bendahari, AJK Main Masak-Masak, AJK Beli Barang, AJK Pengisian dan AJK Persiapan Tempat.

Persiapan majlis bermula pada petang sehari sebelum majlis dengan pembelian bahan-bahan masakan. Seterusnya, AJK Main Masak-Masak mula memainkan peranan usai selesai solat Isyak sehingga sebelum Zohor pada keesokan harinya. Nasi, lauk-pauk dan minuman telah dimasak dan dibancuh di rumah saudara Syiham manakala, persiapan kuih dibuat di rumah saudara Naufal yang hanya bertentangan dengan rumah tempat majlis dijalankan. Semua makanan dan minuman mula dihidangkan sejurus sebelum azan Zohor berkumandang.


Tetamu yang telah dijemput melalui medium Facebook dan jemputan lisan mula kelihatan sekitar jam 12.15 tengahari. Tetamu yang hadir teruja dengan menu yang pelbagai, menarik dan lazat serta menyelerakan iaitu Nasi Hujan Panas, Nasi Minyak, Ayam Masak Merah, Rendang Daging, Acar Sayur-Sayuran, Kuih Cek Mek Molek, Pisang dan Air Oren Ais. Di samping menikmati kelazatan makanan yang terhidang, mereka turut disajikan dengan halwa telinga iaitu lagu Desa Tercinta dendangan Nora yang menjadi lagu tema majlis tersebut. Antara tetamu keraian yang turut hadir memeriahkan majlis, menceriakan suasana adalah saudara Syafiq Presiden PERUBATAN serta EXCO-EXCO PERUBATAN yang lain seperti saudara Ridzuan, saudara Abdul Rahim dan saudara Hafizi. Tetamu yang bertandang dianggarkan sekitar 100 orang. Turut merasa penangan masakan siswa adalah siswi yang masih berada di Mesir apabila beberapa siswa telah ditugaskan menghantar makanan kepada wakil siswi.

Tetamu yang terakhir mula meninggalkan majlis sekitar jam 5.15 petang dan majlis tamat secara rasmi usai azan Maghrib berkumandang. Sebelum pulang, tidak kurang belasan tetamu sempat bertanyakan kemungkinan siswa Gen IX dapat mengadakan khidmat catering dan mereka berharap majlis seumpama ini dapat dijalankan lagi pada masa akan datang. Akhirnya, ternyata tema Ukhuwah Fillah Abadan Abada yang telah dicanang-canangkan sesuai dan tepat dengan majlis ini.

Disediakan oleh, Syawal 1432 Hijrah
Afifi Syamil Bin Abdul Razak
Wakil AJK Pelaksana Program,
Gen IX Riang Ria Syawal.


Menu yang berbagai.
Kedatangan Presiden Perubatan.

DJ yang menyerikan majlis.
Sekitar Majlis.

Salam Aidilfitri daripada kami di Mesir.

Tuesday, July 19, 2011

Peralihan Kuasa Berlangsung Dengan Aman

Peralihan Kuasa Berlangsung Dengan Aman
Oleh: Ahmad Kamil b. Ahmad Fahmi
SAYYEDA ZAINAB, 15 Julai: Berakhirnya peperiksaan akhir tahun bagi pelajar Gen-09 bermakna tamatlah era kepimpinan batch untuk sesi 2010/2011 yang dikepalai oleh Ahmad Shahir b. Mohd Nazri.
Berikutan itu, sebuah majlis ringkas telah diadakan di Beit Nur Qaseh Evolution menandakan pembubaran ahli jawatankuasa batch sesi 2010/2011 dan penyerahan kuasa kepada ahli jawatankuasa baru bagi sesi 2011/2012. Majlis berlangsung dalam suasana yang sederhana dan aman.
Ahmad Shahir b. Mohd Nazri mengucapkan rasa syukur dan terima kasih kepada anak buahnya yang telahbanyak membantu beliau dalam menguruskan hal ehwal batch.
“Saya ingin mengucapkan rasa terima kasih kepada rakan-rakan yang membantu saya semasa pemerintahan saya ini. Semoga Allah sahaja yang membalas jasa kalian,” katanya yang merupakan bekas pelajar Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Jempol bersama-sama dengan Bendahari sesi 2011/2012, saudara Mohd Syafieq b. Mud Shukri.
Simbolik penyerahan kuasa kepada ahli jawatankuasa sesi 2011/2012 disempurnakan dengan penyerahan fail tugas oleh ajk lama kepada ajk baru.
Seterusnya majlis diteruskan dengan ucapan oleh saudara Ahmad Aizzuddin b. Daud selaku ketua batch Gen-09 yang baru.
“Walaupun berlaku peralihan kuasa, tidak bermakna ajk lama lepas tangan sepenuhnya terhadap batch, malah mereka perlu memberi tunjuk ajar kepada ajk yang baru agar batch Gen-09 terus maju melakar nama di peringkat antarabangsa,” ujar beliau yang merupakan penggemar buku-buku falsafah dan pengurusan organisasi.
Selepas itu majlis diserikan lagi dengan tayangan video ringkas yang menceritakan kisah-kisah perjuangan dan karakter ajk lama batch.
Sebelum majlis berakhir, semua yang hadir telah dijamu dengan sedikit jamuan ringkas yang sangat menyelerakan.
Rata-rata ajk lama kelihatan lega kerana sudah terlepas dari bebanan tugas manakala bagi ajk baru, tugas baru yang mereka pikul merupakan cabaran dan peluang menambahkan ilmu kepimpinan dalam setiap diri masing-masing.



Thursday, July 14, 2011

JADUAL PENERBANGAN AHLI GEN09 (link added)


Hujan Emas di Negeri Orang, Hujan Batu di Negeri Sendiri, Lebih Baik di Negeri Sendiri
Begitulah peribahasa Melayu yang membandingkan sesuatu tempat dengan tempat dari mana kita berasal. Memang tak disangkal lagi kebijaksanaan orang Melayu dahulu kala bermadah kata, sehingga maksudnya amat dirasai oleh kita yang berada di bumi Mesir ini.
Kami di pihak Setiausaha mewakili semua ahli Jawatankuasa Batch Gen09 2010/11, mengucapkan selamat pulang kepada semua ahli yang akan bertolak pulang ke Malaysia seawal tengah malam nanti. Semestinya kepulangan kalian membawa seribu satu makna buat keluarga tersayang, dengan ilmu dan pengalaman yang mendewasakan.

Jangan difikir bahawa mereka yang tidak pulang ke Malaysia itu kuat semangatnya merempuh musim panas dan Ramadan yang menduga di Mesir. Anda yang pulang lebih berpeluang berbakti kepada ibu bapa dan keluarga, dapat memahami kuliah-kuliah agama, malah lebih senang bagi anda untuk bangun malam bertahajjud. Bukankah itu membawa ganjaran besar sewaktu Ramadan nanti?

Di sini kami sediakan jadual penerbangan sebagai rujukan ahli batch. Semoga ia memberi manfaat kepada semua. Fail dihoskan di Yahoo! Group batch, jadi boleh juga dimuat turun dari sana.


Jadual Penerbangan 2011.pdf

atau

Jadual Penerbangan 2011 (SkyDrive)


Disediakan oleh:
AHMAD AIZZUDDIN BIN DAUD
ADILAH BINTI ZULKIFLY