TEMA : AHEAD ( AWAKEN, ONE HEART, ONE AIM AND ONE DESTINY )
Salam, tajuk kena letak kat atas, takut nanti merepek dan melencong ke lain, baik..
Entri ini dalam Bahasa Melayu, walaupun tajuknya dalam Bahasa Inggeris. Mungkin kalau tajuk ini dalam Melayu ia tak akan jadi gempak.
Semua manusia itu sama. Tiada yang lebih hebat di sisi Allah melainkan hambanya yang beriman dan bertakwa. Ini realiti yang perlu kita terima, manusia itu sama sahaja, walau apa pun taraf dan latar belakang kita, kita tetap makhluk yang dipanggil manusia.
Ok, santai-santai je la, kita sebagai pelajar Perubatan di Mesir ini sangat bertuah, sedar tak kita ni bertuah? Ok, sedar, Alhamdulillah. Tahu kan kenapa kita ni bertuah? Lihat la betapa banyaknya nikmat yang Allah berikan kepada kita sejak kecil hinggala saat kita bernafas sekarang. Tak terhinggakan nikmat yang Allah berikan? Cuba pandang masyarakat arab di sekeliling kita, siapa yang tidak ada perasaan sayu dalam hatinya, sila doa kepada Allah supaya gantikan hatinya dengan hati yang lain. Siapa mereka ini? Bukankah mereka ini saudara seislam kita? Kenapa Allah berikan nikmat kepada kita? Kenapa mereka kurang bernasib baik, tidak seperti kita? Hebat tak Pencipta kita, semua perkara yang diwujudkan pasti punya pasangannya. Cuba renung sejenak kenapa Allah ciptakan sedemikian? Banyak tafsiran boleh kita buat. Ikut la tafsiran masing-masing.
Ya, kita hanya diberikan sedikit nikmat dan tuah! Nikmat dan tuah ini bukan bermakna kita perlu menjadi orang yang tidak tahu erti syukur. Semua itu hanyalah pinjaman sementara yang akan dipertanggungjawabkan kerosakannya di akhirat kelak. Kalau dah pinjam barang tu, kena la jaga elok-elok kan, kalau rosak, memang sengaja cari nahas. Begitu jugak kita, sebagai pelajar, nikmat ini kita harus jadikan amanah yang dipegang. Perlu ditunaikan dan pastikan ia tidak diabaikan. Nah, besar tanggungjawab kita ini, walaupun kelihatan nikmat itu perkara yang perlu disenangi, tapi harus diingat, nikmat juga mampu bertukar jadi bala.
Baik, tak tahu la apa kaitannya dengan tema di atas, tapi entri kali ini cuba berlaku adil dalam setiap isu, jadi tidak akan dispesifikasikan terhadap mana-mana isu. Umum.
Kenapa Allah jadikan ramai manusia dalam planet Bumi? Kenapa Allah tak jadikan setiap orang mempunyai Bumi sendiri? Sebabnya, manusia tidak akan mampu hidup sendirian. Allah jadikan manusia ini memerlukan antara satu sama lain, saling melengkapi dan mampu bertukar-tukar pendapat untuk mentadbir Bumi ini. Manusia juga punya naluri dan nafsu, semuanya harus dipenuhi tuntutannya, jadi semua manusia saling bergantung antara satu sama lain. Tidak ada manusia yang tahu dalam segala hal, semua orang punya kelemahan dan kelebihan masing-masing. Jadi setiap orang akan menampung kekurangan orang lain. Jadi tidak ada istilah pilih haluan sendiri dalam kehidupan di dunia ini. Semuanya harus dilakukan bersama dan ditinggalkan bersama. Semuanya harus dibangunkan bersama dan dihapuskan bersama.
Jadi, kenapa manusia selalu bergaduh dan bermusuhan? Terlalu banyak punca dan sebabnya. Namun semuanya bermula dari hati. Apabila hati ini tandus dengan iman dan ilmu, hilang pertimbangan diri, maka nafsu mula mengambil alih tampuk pemerintahan diri seseorang. Nafsu ini sememangnya sukar dikawal dan dididik, ia lebih cenderung untuk melakukan perkara keburukan daripada melakukan perkara yang baik. Agak subjektif sekiranya mahu berbicara soal hati dan perasaan ini, kerana semua orang punya hati yang variasi dan sentiasa berubah. Ya memang sukar untuk mencari titik pertemuan, dan bersetuju dalam satu-satu isu. Semua orang ada keinginan, kecenderungan dan kepentingan yang berlainan. Jadi sangat diperlukan di sini hati yang neutral untuk berbincang, perlu buang jauh-jauh perasaan yang kotor dan cuba berlaku adil dalam setiap isu. Gunakan pertimbangan iman dan ilmu sebaiknya,
Tidak ada gunanya bersengketa dan menyimpan perasaan buruk, hidup di dunia ini cuma sementara. Tak banyak pun yang dapat dikejar di dunia ini, semuanya hanya bersifat sementara, bekalan pahala sahaja yang bernilai untuk dibawa ke akhirat. Justeru, ingatlah kepada pesanan baginda s.a.w yang menjadi inspirasi kejayaan kita di dunia dan akhirat:
“Sesiapa yang mahukan kejayaan di dunia, maka hendaklah dia berilmu, jika dia mahukan kejayaan di akhirat, maka dia hendaklah juga berilmu, dan jika dia mahukan kejayaan (dunia dan akhirat), maka hendaklah dia berilmu.”
Renungkanlah kata-kata hikmat baginda Rasulullah s.a.w seperti yang dijelaskan di atas, yang akan memacu kita semua ke jalan kejayaan sebenar, tidak ada jalan lain, melainkan kitalah yang menjadi pelapis kepada Islam pada masa akan datang, Insya Allah. Kejarlah ilmu, ketepikan hal-hal yang membawa kita kepada perpecahan. Kita sampai ke bumi Mesir untuk belajar kan?
Gunakan peluang kita beraksi sebagai seorang pelajar sebaiknya. Sangat beruntung sekiranya kita mati pada saat ini. Kematian penuntut ilmu sama tarafnya dengan mereka yang syahid di jalan Allah. Mari kita renung kembali atas tujuan apa kita hidup di dunia ini. Jadikan tujuan utama itu sebagai panduan kita untuk melakukan apa sahaja perbuatan di muka bumi ini. Untung di dunia dan untung di akhirat. Rapatkan saf dan suburkan toleransi. Jadikan syurga destinasi akhir kita, Moga kita bersama di sana kelak.
Terus berjuang, PERJUANGAN ADALAH PERLAKSANAAN!
maaf, tak menjadi santainya...
memang umum :)
1 comment:
isi yang bagus cuma kurang penekanan ke arah tema yang disediakan
macam mana pun cubaan yang menarik
Post a Comment