Oleh: Ahmad Kamil
Apa khabar pembaca budiman sekalian? Pasti kalian sudah
penat murajaah. Apa salahnya melepas
lelah dengan kisah ke-2 dari kita.
Kisah ini empunya ibu dan ayah kita. Dilipurlarakan pula
oleh kita kepada kalian.
Kisah 2
Pada
zaman dahulu kala, sebelum diciptakan pelbagai gajet, tiadalah pokok
buah-buahan berbuah mengikut jadual. Mereka berbuah ikut rasa hati
masing-masing. Oleh itu berlaku pertembungan sesama mereka. Akibatnya,
buah-buahan yang kurang lazat tidak dimakan oleh manusia.
Contohnya
apabila pokok rambai berbuah, pokok durian juga berbuah. Apabila tiada muafakat
dalam berbuah, buah rambai tidak dipedulikan.
Rasanya masam-masam. Terkedip-kedip mata dibuatnya. Manusia asyik makan
buah durian sahaja. Buah durian sedap dimakan. Lagi-lagi jika ditenggek isi
durian masak ranum dengan santan, dan dibubuh sedikit gula. Kalau dicicah ia
dengan roti Gardenia putih, hati yang
rusuh menjadi senang. Jiwa yang senang menjadi tenang. Akhirnya buah rambai
yang masak pun gugur dan busuk begitu sahaja.
Setengah purnama selepas itu, dikisahkan bahawa berlaku pemberontakan oleh puak rambai. Buah-buah rambai amat dengki dengan buah durian. Umpama dengkinya Qabil pada Habil, Abrahah dengan Kaabah. Banyak puak rambai terkorban dilanyak dengan buah durian. Peristiwa berdarah itu mendapat liputan media antarabangsa. Akibatnya, semua buah bersatu menentang buah durian. Buah nangka, buah kelapa, buah mangga, buah betik, buah keras, buah lembut dan macam-macam lagi turut campur tangan.
Ekoran daripada itu, Persatuan Pokok Buah-buahan Tempatan
Malaysia (BUAH) mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) untuk menyelesaikan
masalah penggiliran tersebut. Pada awalnya, buah durian belanda mula-mula
dianggap sebagai bukan tempatan kerana menggunakan nama penjajah. Tetapi
setelah diteropong(diselidiki), tiadalah ia kaitan dengan sebuah negeri atas
angin apatah lagi yang tidak berangin. Akhirnya diterimalah durian belanda
masuk ke dalam mesyuarat.
Buah
kelapa telah dilantik sebagai Pengerusi mesyuarat kerana ketinggian dan
kemasyhurannya. Manakala buah betik telah dipilih sebagai setiausaha mesyuarat.
Agenda pertama adalah menetapkan musim. Adapun musim tengkujuh dan musim hujan
pada November hingga Februari di negeri-negeri pantai Timur amat tidak disukai
buah-buahan. Kalau pun berbuah, buah akan rosak oleh hujan, tiadalah rasa
manisnya, maka berdukalah hati orang yang memakannya. Oleh itu ditetapkan musim
berbuah dari Februari hingga Oktober setiap tahun.
Pada
awalnya, semua pokok hendak berbuah awal. Mesyuarat hangat seketika. Akhirnya
persetujuan berikut dicapai sebulat suara dan diumumkan Pengerusi mesyuarat:
Mac – Buah rambutan
Mac – Buah rambutan
April – Buah manggis
Mei – Buah langsat
Jun – Buah duku
Apabila tiba bulan Julai dan musim hampir habis, buah durian
bolehlah mengambil giliran untuk memasakkan buahnya. Buah-buahan ini boleh
berbunga serentak tetapi terpaksa menunggu giliran untuk masak.
Manakala
buah-buahan jenis yang masam, jika dimakan terkedip mata tergoyang pinggul
seperti limau, belimbing, mempelam dan salak bebas berbuah pada bila-bila masa
kerana mereka kurang saingan. Pengerusi dan setiausaha juga diberi kuasa mutlak
untuk berbuah sepanjang tahun. Pokok rambai yang menjadi punca pergaduhan
diberi masa untuk berbuah pada akhir musim setelah buah-buahan lain habis
berbuah.
Akhirnya semua buah-buahan yang tiada nilai, tiada musim dan
tiada dipandang (ada tidak menambah, tiada tidak berkurang) mempunyai masa
untuk berbuah. Puaslah hati mereka semua.
Inilah satu-satunya mesyuarat persatuan BUAH sepanjang
sejarah hikayat dongeng. Keputusan ini terpakai sehingga akhir zaman, zaman
yang mana manusia kufur dengan Pencipta buah-buahan Yang Maha Kuasa. Adapun
sesekali mereka berjumpa di majlis perkahwinan sahabat buah-buahan mereka
seperti duku-langsat.
TAMAT
Ambillah apa-apa pengajaran yang ada dari kisah ini. Sama
ada yang nampak di mata atau terlintas di hati. Kita ingin mengundur diri. Maaf
andai tersalah kata dan tersasar bicara.
No comments:
Post a Comment