Saturday, May 25, 2013

Contengan Melepas Lelah


Contengan ini boleh dibaca selepas penat study .
Insya Allah, ada 2 kisah yang akan kita perikan kepada pembaca budiman sekalian.
Adapun kisah ini diperikan oleh ayah dan ibu kita sendiri. Kisah ini tidaklah muktabar tetapi sarat pengajaran.

Kisah 1

Diceriterakan bahawa harimau dan kucing bersahabat baik tidak lama dahulu. Si Kucing bermisai lurus, berbulu putih dan berekor panjang, tetapi comel dan gebu. Sang  Harimau pula mirip seperti kucing tetapi lebih besar dan berwarna oren belang hitam. Sang Harimau juga berkuku tajam dan dilihat seram. Mereka sangat akrab dan saling menyayangi satu sama lain. 

             Mengikut riwayat, harimau ini cetek ilmunya dan malas belajar. Tidaklah dia tahu berburu. Selama ini dia hanya makan tikus yang diburu oleh kucing. Tidak dapat digambarkan berapa ekor tikus yang perlu diburu kucing untuk memenuhi selera harimau. Namun Kucing tak pernah mengeluh, kucing itu  ikhlas melakukannya tanpa mengungkit perihal harimau di laman sosial kepada haiwan-haiwan lain.



 Suatu pagi yang tidak berapa nak panas dan tidak pula mendung, datang harimau kepada kucing. Harimau mengkhabarkan hasrat untuk belajar berburu. Seperti akan harimau itu buang tebiat rupanya. Kucing bersetuju untuk menjadi guru berburu kepada harimau. Kucing percaya bahawa haiwan boleh berubah. Kalau jahiliahnya pakai terdedah, selepas berubahnya pakai purdah. Itulah trend semasa di hutan itu.

Kucing mengajari harimau kemahiran untuk mengintip mangsa dari balik semak-semak dan mengajarkan kesabaran dan waktu yang tepat untuk mengejar mangsanya. Harimau belum mewarisi ilmu kesabaran yang diajarkan oleh kucing. Harimau dikenal cepat sekali naik darah. Namun kucing tetap sabar dalam mengajar. Ia sekadar merintih dalam hati sahaja.

Berkat kesabaran kucing dalam mendidik harimau, akhirnya harimau berhasil juga  menguasai jurus berburu yang ampuh warisan dari kucing. Sekarang tak pernah sekalipun Harimau gagal dalam memburu mangsa di hutan tersebut. Kalau orang sekarang sebut ia sebagai ‘practice makes perfect’. Setiap hari ia mempamerkan keahliannya kepada kucing.

Arakian kehebatan harimau. Waktu terus berlalu beberapa purnama. Semakin lama harimau menjadi sombong dan takbur, sehingga ia digelar terrorist. Kalau dulu harimau membunuh kijang dewasa untuk makan, sekarang ia telah berani membunuh anak kijang atau rusa hanya untuk kesenangan saja, keamanan dan ketenteraman hutan menjadi terganggu. Pembaca budiman sekalian, tidaklah Allah suka hambaNya yang sombong dan takbur.

Sehinggalah suatu petang, datang iblis membisikkan sesuatu kepada harimau dalam mimpi ketika ia tidur selepas Asar.

“Hai harimau, bangunlah kamu! Pergi bunuh kucing sahabatmu itu. Dia akan menghalang engkau daripada menjadi Raja Rimba.” Bisik iblis.

Terpisat-pisat harimau bangun dari tidur. Dia terus bergerak ke rumah kucing. Jiwa tamak untuk menjadi Raja Rimba dan hasutan iblis membutakan mata hati harimau. Dia nekad untuk membunuh kucing, seekor sahabat dan seekor guru.
                
              “Aku akan membunuhmu!!!!!, aku harus menghancurkan siapapun yang menghalangi langkahku untuk menjadi penguasa hutan ini. Grrrrggghhhh!!!!!”.  Kemarahan Harimau semakin memuncak.

“HHHHmmmmhhhh… Kau benar-benar berubah sekarang muridku, sedarlah muridku…..”.  Jawab Kucing itu mencuba menenangkan muridnya.

“Ah, dasar kucing tak tahu di untung!!!!!!  Aku akan membunuhmu……………!!!!!”.  Harimau segera memasang kuda-kuda dan menerkam gurunya.

Kucing tak kalah sigap, dengan secepat kilat ia segera menghindar dan melompat ke atas pokok. Malangnya, harimau tak pandai panjat pokok. Ia hanya mampu melihat. Harimau menunggu di bawah dan mengaum keras, menahan segala rasa marahnya.




 Akhirnya setelah sekian lama menunggu, harimau itu pancit juga. Dia pun beredar dari situ kerana hari hampir maghrib. Tidak mahu ia digelar syaitan yang merayap di waktu maghrib oleh penduduk hutan yang lain.

“Hai kucing tak tahu diuntung, aku pasti akan membunuh kau jika aku jumpa kau lagi selepas ini.” Ujar harimau lalu beredar pulang.

Setelah harimau beredar, dengan penuh kesedihan dan luka hati yang dalam kucing itu pergi meninggalkan hutan itu menuju ke pinggir hutan. Kini kucing lebih gemar tinggal di kawasan bandar. Takut-takut ia terserempak dengan harimau. Sejak itu juga, kucing akan mengambuskan najisnya dengan pasir selepas menunaikan ‘hajat’. Dibimbangi akan dihidu harimau.

Tamat

Adapun kisah 2 akan bersambung.  Izinkan kita sambung study dulu. Ambillah pengajaran jika ada. Tiada daya kita nak senaraikan satu-satu.

Karya: Ahmad Kamil Ahmad Fahmi
                                                            


Gen09 GEN09 MEMBER

Do things with passion or not at all.

3 comments:

Unknown said...

Oo best. Hikayat reka sendiri ke?

nwahdaty91 said...

pernah baca cter ni . best2
koleksi cter2 haiwan .

pandainya olah :)

memori buku zaman kecil2 dlu~

Afify Shamel AbdelRazak said...

Mana sambungan?
Kisah Hantu Chess yang asyik menang bila lampu terpadam ke, kisah gajah hidung panjang ke...