Wednesday, April 10, 2013

Muqaddam Lusuh


NAMA : NURHAWA ILLANI BINTI ROSLAN
TAJUK : PADA MUQADDAM LUSUH
SKOP : JALAN TARBIYAH
TEMA : RUKUN IMAN
PERTANDINGAN SENI WARISAN (TEMPAT KE-3)

Terpandang sang kusut,
Pada sebuah muqaddam lusuh,
Mengundang sejarah, alam tiada rusuh.

Saat indah mengenal siapa pencipta,
Tiada ragu, hanya percaya,
Saat hati bertanya,
Oh tuhan… mengapa mereka menyembah berhala,
Sedang dia bukan apa-apa,
Buatannya juga oleh manusia.

Saat ligatnya mata liar mencari,
Di mana ia ‘Atid?
Sungguh tak jumpa,
Hanya kerana percaya…
Akan ia menulis setiap laku dan kata,
Lalu, tingkah sentiasa dijaga.

Akan kitab lama,
Terselit bersama, tak pernah lupa,
Di dalamnya ada a, ba, ta,
Berasa bahagia dengan tiga Qul dikepala,
Tidak tahu apa makna,
Hanya kerana tuhan suka…

Alam tiada noda itu…
Saat mengenal manusia agong,
Selawat ke atas baginda,
Tak pernah bersemuka,
Hanya kerana percaya…
Lalu kurma juga seawal berbuka.
Akan sunnahnya diutama.

Tika ‘At-Thammah’ dicerita,
Gerun dan getar terasa,
Hari bencana… kerana percaya,
tak mampu manangkis si air mata,
bibir berbahasa,
Mama… aku tak ingin jadi manusia hina,
Bawalah aku bersama ke syurga.

Sewaktu duka menduga,
Diajar rezeki ditentukan,
Dikira oleh tuhan,
Lalu tersingkap gundah, terukir senyuman,
Mendakap kalimah alhamdulillah.

Sang kusut terdongak...
Dia tersentak…
Kerana sebuah muqaddam lusuh,
Dia kini tersedar,
Hilang segala kekusutan,
Setelah kembali dari pengembaraan,
Mencari iman,
Dari alam lamunan.


Watak dalam sajak ini ialah ‘Sang Kusut’ yang terkenangkan zaman kanak-kanaknya yang tulus mempercayai keenam-enam rukun iman. Menginjak usia dewasa, dia semakin alpa dan jauh dari iman. Lantaran inilah yang mengusutkan hidupnya. Pada saat dia terpandang muqaddamnya yang lama, dia kembali teringat akan siapa tuhannya, malaikat yang ada, kitab AlQuran yang menenangkan, manusia mulia Nabi Muhammad, hari kiamat sebagai hari pembalasan dan percaya kepada qada’ dan qadar.

Penyajak ingin mengajak para pembaca menyingkap zaman kecil kita sebagai seorang anak yang masih mentah tetapi tetap mempercayai akan adanya Allah sebagai tuhan serta 5 lagi rukun iman yang lain. Tidak dapat dinafikan, semua ini adalah kerana proses pembelajaran yang diterapkan oleh ibu bapa kita. Persoalan pentingnya di sini, masih sucikah iman kita atau telah dicemari oleh anasir-anasir luar yang terpalit tatkala meniti usia? Sama-sama kita renungkan dan perbaiki kelemahan iman, insyaAllah…



Gen09 GEN09 MEMBER

Do things with passion or not at all.

No comments: