تقوم الساعة والروم أكثر الناس
“Berlakunya Kiamat dan Rom merupakan manusia terbanyak” (Riwayat Muslim).
Amru Bin Al-Ash mengulas tentang hadith ini
لئن قلت ذلك إن فيهم لخصالا أربعا إنهم لأحلم الناس عند فتنة وأسرعهم إفاقة بعد مصيبة وأوشكهم كرة بعد فرة وخيرهم لمسكين ويتيم وضعيف وخامسة حسنة جميلة وأمنعهم من ظلم الملوك
Jika kamu sebut demikian, sesungguhnya pada mereka ada empat ciri yang baik. Pertama; mereka paling santun (forbearing) ketika dalam bahaya. Kedua; Mereka paling pantas bangkit selepas bencana. Ketiga; Paling cepat menyerang balas musuh. Keempat; Mereka paling baik untuk anak yatim, orang miskin dan orang lemah kalangan mereka. Tambahan kelima, satu ciri yang baik lagi indah; mereka golongan yang paling mencegah kezaliman raja-raja”.
Kata Prof Madya Dr Asri
“ Merenung hadis dan ucapan ‘Amr bin al-‘As ini, dapat kita lihat kekuatan dalam kehidupan masyarakat Barat ini sekalipun banyak perkara yang kita mungkin tidak bersetuju dengan mereka. Ciri-ciri kebaikan dan kekuatan yang disebutkan ‘Amr bin al-‘As dapat kita lihat dalam pengurusan mereka yang lebih baik dibandingkan masyarakat lain termasuk masyarakat muslim hari ini. Sikap mereka dalam mencegah kezaliman penguasa lebih baik dari masyarakat lain yang feudal. Royal Family mereka sekalipun berjasa dalam sejarah, namun hari ini tidak dibiarkan bertindak tanpa boleh dipertikaikan. Dengan itu masyarakat mereka hidup dengan penuh keyakinan terhadap hak dan suara mereka”
Sengaja memetik hadis di atas selepas mengulang tonton video Wacana Perdana- PRU13 & Masa Depan Islam yang berlangsung pada tahun lepas. Boleh cari di Youtube untuk menonton video penuh dan sama-sama fikirkan.
Sememangnya sekarang ni ‘musim’ pilihan raya, bila-bila masa saja parlimen bakal dibubarkan. Apabila semboyan pilihan raya telah berbunyi, maka setiap pemilih berdaftar bakal membuang undi untuk memilih wakil rakyat bagi peringkat DUN dan Parlimen.
Setiap perbuatan kita akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak termasuklah mengundi untuk memilih pemimpin. Justeru, kita perlu memilih pemimpin yang benar-benar berkelayakan untuk menerajui negara. Kesilapan memilih pemimpin akan memberikan impak yang negatif terhadap masa depan negara.
Sebagai seorang mahasiswa, kita perlu peka dengan perkembangan semasa dan menilai sesuatu isu itu dengan adil. Kita tidak akan membuta tuli menerima sesuatu yang disogokkan oleh satu pihak tanpa mendengar daripada pihak yang lain. Pada zaman tiada sempadan ini, kita harus menapis setiap perkara yang kita kita baca dan dengar dengan hujah yang boleh diterima akal.
Penguasa zalim
Tersungkurnya para penguasa rakus di negara-negara Timur Tengah merupakan bukti kebangkitan rakyat menolak pemimpin yang menindas rakyat dan membolot harta khazanah negara untuk keluarga sendiri dan kroni. Apabila hal ehwal rakyat diabaikan, kebajikan rakyat diketepikan, suara rakyat didiamkan, maka rakyat sesebuah negara itu akan bangkit dengan satu hati untuk menumbangkan kerajaan zalim.
Sejarah akan terus berulang sekiranya pemimpin masih meneruskan pemerintahan yang zalim seperti kerajaan-kerajaan lain yang sudah tumbang. Tiada istilah terlambat untuk berubah daripada kerajaan yang tidak baik kepada kerajaan yang baik. Terpulang kepada pemerintah itu sendiri untuk menentukan pengendalian sesebuah kerajaan. Tetapi, harus beringat bahawa rakyat dibawah sedang memerhatikan tindak tanduk dan keberkesanan pengurusan sesebuah kerajaan.
Kebangkitan rakyat
Kesabaran rakyat ada hadnya. Apabila dihimpit dan ditekan dengan pelbagai penindasan dan kezaliman, akan ada insan-insan yang akan bangkit bersuara dan menuntut keadilan. Apabila suara mereka tidak diendahkan oleh pihak kerajaan, mereka akan cuba menekan kerajaan dengan demonstrasi jalanan untuk mendapatkan perhatian masyarakat antarabangsa. Kemuncak kezaliman pemerintah adalah dengan menangkap rakyat memperjuangkan hak mereka dan memukul mereka sesuka hati bagai anjing jalanan. Tindakan tidak berhati perut penguasa zalim ini memaksa rakyat bersatu bangkit menumbangkan kerajaan zalim ini sama ada melalui pilihan raya ataupun jalan raya. Revolusi dan kemenangan parti pembangkang di Timur Tengah merupakan simbol kebangkitan rakyat menentang penguasa zalim.
Pilihan raya atau jalan raya?
Sering kali kita mendengar dan membaca pertukaran pemerintah berlaku di negara-negara maju. Tidak pelik bagi warganegara dunia pertama untuk menukar pemimpin mereka setiap kali berlakunya pilihan raya. Hal ini menunjukkan kematangan mereka dalam memilih pemimpin dan hak mereka untuk memilih pemimpin yang benar-benar boleh menjamin masa depan rakyat sesebuah negara. Kebebasan bersuara dan media yang bebas membolehkan rakyat menilai sendiri hujah dan kekuatan mana-mana parti yang bertanding.
Jalan raya menjadi salah satu alternatif terakhir bagi rakyat apabila suara mereka tidak dilayan oleh pemerintah. Apabila hak bersuara dan kebebasan media dinafikan, rakyat yang kurang membaca terus menjadi dungu, manakala rakyat yang sudah sedar akan kebobrokan kerajaan akan terus ditekan dan memaksa mereka turun ke jalan raya menuntut hak.
Masalah rakyat
Pemimpin dipilih untuk menyelesaikan masalah rakyat selain daripada menggubal undang-undang di Parlimen. Rakyat bawahan bergantung kepada pemimpin pilihan mereka untuk suara mereka didengari. Kebajikan dan ekonomi rakyat harus dipantau dan diperbaiki dari semasa ke semasa. Duit pembayar cukai harus digunakan untuk kepentingan rakyat bukannya dibazirkan dengan program yang sia-sia.
Ketirisan wang kerajaan dengan rasuah memburukkan lagi nama negara di mata dunia. Rakyat tidak memerlukan wakil rakyat rakyat yang mengambil kesempatan ke atas wang rakyat. Apa yang diperlukan oleh rakyat ialah masalah mereka ditangani dengan bijak dan tersusun dan bukannya dengan gula-gula pilihan raya yang hanya datang lima tahun sekali.
Hentikan pembodohan
Masyarakat hari ini bukanlah seperti masyarakat zaman 70-80 an dulu yang hanya menerima sesuatu berita atau isu itu daripada satu sumber sahaja. Masyarakat hari ini sudah boleh menilai sesuatu isu itu daripada pelbagai sumber alternatif. Rakyat sudah muak dengan berita yang sudah diolah mengikut kehendak parti pemerintah. Media seharusnya adil dan tidak memihak untuk menjamin penyampaian berita yang sahih dan adil daripada mana-mana pihak. Sekatan untuk bersuara dalam media perdana merupakan satu tindakan kurang bijak parti pemerintah dalam usaha untuk memenangi hati rakyat.
Rakyat hari ini sudah bijak menilai dan membandingkan tanah air sendiri dengan negara-negara luar. Jawapan kurang matang oleh pemimpin atasan negara dalam isu-isu seperti harga minyak petrol dan pendidikan percuma hanya menjadi modal ketawa rakyat.
Mengundi buat kali pertama
Semoga undi saya dan sahabat-sahabat yang lain merupakan undi yang dapat menjamin masa depan kita dan anak cucu kita kelak. Pilih pemimpin dan parti yang benar-benar berjiwa rakyat dan memahami masalah rakyat. Buanglah kepercayaan karut-marut bahawa menukar sesebuah kerajaan itu akan menimbulkan huru-hara. Bandingkan tawaran ataupun manifesto parti-parti yang bertanding dengan akal yang waras dan bukannya semata-mata kerana taasub.
Sekian. Terima kasih sebab sudi membaca.
No comments:
Post a Comment