Monday, December 10, 2012

HIDUP UMPAMA KERETA




Pasti ada yang pelik dengan analogi yang saya kemukakan. Sabar, biar saya terangkan apa yang saya maksudkan dengan analogi di atas. Kita sudah maklum bahawa setiap komponen kereta memainkan peranannya yang tersendiri dan menjadi pelengkap bagi memastikan kereta tersebut berfungsi dengan baik. Begitu juga kita yang dinamakan manusia, amatlah penting untuk kita menggunakan seluruh komponen yang terdapat pada badan kita yang telah dikurniakan oleh ALLAH dengan sebaiknya.

Sepasang mata yang indah ciptaannya perlulah digunakan untuk melihat kebesaran ciptaan Allah di muka bumi. Mulut dan lidah haruslah sentiasa dibasahi dengan zikrullah dan bercakap perkara yang baik sahaja. Dan kaki yang dikurniakan kepada kita, biarlah ia menjadi penggerak kita ke tempat-tempat yang baik. Tidak lupa juga peranan akal dan hati kita yang merupakan enjin dalam badan manusia yang menjadi penentu hala tuju kehidupan manusia.


Hadis Rasulullah SAW ada menyebut :

"Ketahuilah, sesungguhnya di dalam tubuh manusia ada segumpal daging, apabila daging itu baik maka baiklah tubuh manusia itu, akan tetapi bila daging itu rosak maka rosak pula tubuh manusia. Ketahuilah bahwa sesungguhnya segumpal daging itu adalah hati.

(HR. Bukhari-Muslim) "

Tanpa minyak, kereta tidak akan dapat bergerak. Pentingnya peranan minyak untuk menggerakkan kereta samalah seperti pentingnya peranan iman yang menjadi penggerak segala amalan manusia. Jika minyak kereta mulai berkurang, apakah tindakan yang akan kita lakukan? Pastinya kita akan mengisi semula minyak kereta tersebut sehingga penuh, agar perjalanan kita dapat diteruskan dengan lancar. Begitu juga iman manusia ini, fitrahnya terkadang naik, terkadang turun. Maka sebagai hamba Allah yang diciptakan untuk menjadi khalifah di muka bumi ini, kita perlulah sentiasa memastikan iman kita berada pada tahap yang maksimum. Jika terdapat tanda-tanda iman kita semakin berkurang hendaklah segera kita muhasabah diri dan berusaha untuk menaikkan kembali iman kita.

Apabila seorang pemandu membawa kereta, cermin pandang belakang dan cermin sisi akan digunakan sepenuhnya agar pemanduannya lancar.Kedua-dua cermin ini berfungsi untuk membantu pemandu agar berwaspada akan segala bahaya dan kemungkinan yang tidak diingini yang mungkin datang dari arah tepi dan belakang. Hidup manusia tidak akan lepas dari ujian dan dugaan. Adalah sangat penting untuk kita tidak lupa pandang ke belakang dan lihat kisah silam kita yang dulu, agar kita tidak mengulangi perkara yang sama, dan juga sebagai persedian untuk menempuh hidup yang penuh pancaroba. Kata cerdik pandai,
"Pengalaman adalah guru yang terbaik.”
Makna dari "pengalaman adalah guru terbaik" adalah adanya suatu kejadian atau peristiwa yang menimpa hidup kita di masa lalu, baik menyenangkan atau pun tidak menyenangkan, hendaklah kita menjadikannya sebagai suatu pelajaran, peringatan dan motivasi yang berharga dalam menyingkapi dan menentukan langkah perjalanan hidup kita selanjutnya.

Untuk meneruskan perjalanan dengan baik, sebuah kereta perlulah mempunyai alat gantian yang lengkap atau nama lainnnya spare part, sebagai persedian jika kereta tersebut menghadapi masalah atau kerosakan. Selain itu, pemandu itu sendiri perlulah mengetahui serba sedikit tentang bagaimana cara untuk mengesan kerosakan dan juga apa tindakan yang perlu diambil jika berlakunya kerosakan pada kereta tersebut. Kereta yang ditimpa kerosakan dapat dianalogikan dengan ujian yang menimpa ke atas manusia. Apabila manusia itu mendapat ujian, pasti manusia itu akan merasa lemah dan futur , dan hal ini sedikit sebanyak pasti akan mengganggu perjalanan hidupnya. Jadi, bekalan dan persedian yang telah dikumpulkan selama inilah yang dapat membantu manusia untuk bangkit semula. Segala ilmu, didikan dan tarbiyah, tidak lupa juga tawakal dan doa yang berterusan merupakan bekalan-bekalan yang dapat membimbing manusia untuk bangkit ke arah yang lebih baik. Kita juga perlu sentiasa menganalisis apa masalah-masalah atau kekurangan yang terdapat pada diri kita dan segera mengambil tindakan untuk memperbaiki masalah tersebut jika wujud.

Sebenarnya, banyak lagi komponen-komponen kereta yang dapat kita analogikan dengan diri kita. Tapi saya kira cukuplah sekadar analogi diatas, sebagai panduan buat kita. Jadi sebagai kesimpulan,gunakan komponen-komponen yang ada pada diri kita dengan baik, agar perjalanan hidup kita sentiasa di dalam redha Ilahi.

by: Amanina Juazer















Anonymous GEN09 MEMBER

Do things with passion or not at all.