Showing posts with label BPI. Show all posts
Showing posts with label BPI. Show all posts

Saturday, March 15, 2014

Laporan Program Fiqh Munakahat

Pada Hari Ahad 9 Mac yang lalu, Unit Pembangunan Insan Gen09 telah berjaya menjalankan kelas Fiqh Munakahat yang bertempat di Markaz PERUBATAN Abou Risy. Kelas tersebut yang bermula pada pukul 7.00 malam itu mengulas serba sedikit tentang Kitab Ihya' Ulumuddin, Bab Adab Nikah karangan Imam Al-Ghazali yang disyarahkan oleh Ustaz Muhammad Noorazam Bin Bahadur.

Antara yang hadir.
 Perkara yang dibincangkan ialah Kebaikan dan keburukan didalam sesuatu perkahwinan.

Imam Al-Ghazali menjelaskan bahawa terdapat 5 faedah yang boleh diambil daripada bernikah.

  • Zuriat sebagai penyambung amal.
  • Menjaga diri daripada hasutan syaitan, dengan menyalurkan hawa nafsu kepada jalan yang benar.
  • Merehatkan dan menjinakkan jiwa dengan duduk bersama pasangan.
  • Menghilangkan keserabutan dalam berfikir tentang hal-hal mengurus rumah, baik lelaki mahupun perempuan.
  • Mujahadah nafsu.


Ustaz Azam menjawab beberapa soalan yang diajukan.
Imam Al-ghazali turut menjelaskan beberapa keburukan yang mungkin boleh terjadi.

  • Kemungkinan rezeki dicari daripada sumber yang tidak halal atas keterdesakn kerana tidak mampu menampung keluarga.
  • Tidak dapat menunaikan tanggungjawab dengan baik.
  • Isteri dan anak-anak menjadi punca melalaikan diri daripada zikrullah.
Penyampaian sedikit cenderamata kepada Ustaz Azam.
Kelas tersebut berakhir kira-kira jam 9.30 malam yang diakhiri dengan sesi soal jawab.
Moga-moga program seperti ini dapat memberikan sedikit sebanyak manfaat kepada ahli batch Gen09 seterusnya mengakhiri zaman bujang batch ini yang nampak tidak berkesudahan.

Saturday, July 28, 2012

AKU LIHAT ISLAM SUBUR DI SELANGOR

Jika Kelantan menggariskan 5 kempen bersempena Ramadhan sebagai usaha kerajaan menghidupkan bulan yang berkat ini, disamping program Qaryah Ramadhan, Selangor pula istiqamah dengan merealisasikan misi “BALDATUN TOYYIBATUN wa RABBUN GHAFUR”.

Malah, dikhabarkan  bahawa bilangan ustaz untuk menerima jemputan-jemputan ceramah Ramadhan di Shah Alam dan sekitar Selangor sangat tidak mencukupi.  
Tanyakan sahaja bila waktu yang bersesuaian untuk anda hadiri, jika tidak sesuai di Masjid A, sudah tentu Masjid B,C atau D sedia menanti anda dengan taman-taman syurga mereka.

Kata Imam Ahmad Ibn Hanbal, ketika ditanya seseorang tentang jalan menuju tuhan, berikut jawab imam Ahmad:-

“Jalan menuju Allah itu, lebih banyak jalannya jika dibandingkan dengan nafas-nafas setiap manusia.”

Maka beruntunglah rakyat,berbahagialah manusia, jika pemimpin mereka sendiri bersungguh-sungguh mengajak dan menghidangkan jalan menuju tuhan. Tinggal sahaja persoalannya, adakah kita sebagai rakyat bersungguh-sungguh dalam mencari cinta Tuhannya terutama saat Ramadhan menjelma?

ibunda tercinta sahabat gen9 (aimatnuddin husairi hussain) di Qaryah Ramadhan 2012, Kelantan. 

RAMADHAN YANG BERBAKI
 Sedar mahupun lena, hakikatnya Ramadhan tahun ini sudah berkurang bilangan harinya. Seminggu (7 hari) yang kita lalui, menandakan semakin hampir untuk kita bertemu fasa kedua bulan barakah ini.

Jika 10 hari terawal disebutkan satu hadith riwayat Salman Al-farisi (taraf hadith dhoif) sebagai fasa memburu rahmat, adakah kita telah benar-benar memburunya? Adakah kita faham pentingnya rahmat Allah sehingga kita perlu memburunya?

Mafhum hadith sohih riwayat Muslim, dari Jabir r.a telah berkata Rasulullah:

“Bukanlah Amal seseorang yang memasukkannya ke syurga atau melepaskannya dari neraka, termasuk juga aku, tetapi ialah semata-mata RAHMAT Allah SWT sahaja”


KESIMPULAN : BAGAIMANA  RAMADHAN  KITA?

Sesuai dengan umur 21 tahun, dengan rata-rata semakin ramai mula menginjak ke alam rumah tangga,maka persoalan bagaimana ramadhan kita pada tahun ini wajar direnung dan diberikan jawapan yang membanggakan. Bukan untuk orang lain, tapi untuk diri sendiri yang terlalu ingin melihat syurga Si Pencipta.

Beberapa solusi untuk memantapkan ramadhan yang berbaki perlu di senarai dan dilakukan dengan azam yang tinggi. IF YOU FAIL TO PLAN,THEN YOU ARE PLANNING TO FAIL.

Sudah tentu, FAIL dalam peperiksaan bukan keinginan kita, ini kan pula Ramadhan.

Ahli batch Gen 9 iftar (ammar hamz, wawan, hanif, farhan) di Masjidilharam, Ramadhan 2011.  



 SOLUSI CONTOH UNTUK PANDUAN BERSAMA

(Gearing up for Ramadhan methods)

Tarawikh 8 rakaat -> tarawikh 12 atau 16 rakaat
Qiam 2 rakaat -> qiam 4 rakaat
Tadarus Al-Quran  4 Maqra’ -> Tadarus Quran 6 atau 8 maqra’
Sedekah harian RM 1 -> sedekah harian RM 5 atau RM 10
Solat taubat malam sebelum tidur malam-> solat taubat siang (cth: waktu dhuha) dan malam
Dan lain-lain.


-afiquehidayat-


Friday, October 28, 2011

Zulhijjah..



28 Oktober 2011 = 1 Zulhijjah 1432

Sedar tak sedar kita dah masuk dalam bulan Zulhijjah, bulan terakhir sebelum melangkah ke tahun baru 1433 Hijrah dan juga bulan yang mempunyai banyak kelebihan.

Zulhijjah, bulan di mana berlakunya peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim untuk menyembelih anaknya, Nabi Ismail.

Bulan di mana Allah menjanjikan ganjaran berlipat kali ganda bagi hambaNya yang melakukan amal ibadat.

Bulan di mana 10 hari awalnya adalah sebaik-baik hari selepas 10 hari terakhir pada bulan Ramadhan.

Bulan yang mempunyai sebaik-baik waktu siang (Hari Arafah) sebagai pelengkap kepada sebaik-baik waktu malam (Malam Lailatul Qadar).

Juga, bulan ini termasuk dalam salah satu antara bulan-bulan haram yang empat.

Memang bulan Zulhijjah bukan bulan biasa-biasa, terutamanya 10 hari awalnya.

Imam al-Bukhari Rahimahullah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda bermaksud, 
“Tiada suatu hari pun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari ini – iaitu 10 hari Zulhijjah.” Para sahabat baginda bertanya, “Tidak juga Jihad pada jalan Allah (mengatasi kelebihan hari-hari tersebut)?” Ujar baginda, “Tidak juga Jihad di jalan Allah kecuali seorang yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun (kerana habis disumbangkan untuk memenangkan agama Allah)”






Terdapat banyak amalan yang sunat dilakukan pada bulan ini khususnya pada 1 hingga 10 Zulhijjah. Antara amalan yang digalakkan :

  • Berpuasa sunat khususnya pada 1 hingga 9 Zulhijjah. Hari yang terbaik untuk berpuasa adalah pada 9 Zulhijjah (hari Arafah), di mana Rasulullah telah bersabda tentang kelebihan khusus hari Arafah.


"Tiada hari yang lebih banyak Allah membebaskan hambanya lebih dari hari Arafah" 
(Riwayat Muslim).


Nabi SAW juga bila ditanya tentang kelebihan berpuasa pada hari Arafah ini menjawab, 
ia menghapuskan dosa yang lalu dan tahun kemudiannya.

  • Memperbanyakkan zikir 


Imam Ahmad r.a. meriwayatkan dari Ibnu Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, 
Tiada suatu haripun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari 10 Zulhijjah ini, oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil
 (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah)”

  • Memperbanyakkan amalan-amalan sunat lain seperti membaca Al-Quran, bersedeqah, solat sunat dan amalan-amalan sunat lain. Amalan-amalan tersebut, walaupun sedikit, tetapi amat disukai oleh Allah jika dibandingkan dengan bulan-bulan lain. 


  • Melakukan ibadah korban pada Hari Raya Korban dan hari-hari Tasyriq. Ia merupakan sunnah Nabi Ibrahim ketika Allah memerintahkannya menyembelih Nabi Ismail.
          Allah SWT juga ada berfirman :
         Sesiapa yang membesarkan syiar Allah (berkorban) maka ia adalah dari
         tanda ketaqwaan hati" (Al-Hajj : 32)

  • Disunatkan bertakbir pada waktu yang ditetapkan terutamanya selepas solat.  Ibn Abi Shaibah menyebut bahawa Saidina Ali K.W menunjukkan bahawa permulaan takbir bermula sejurus selepas solat Subuh hari Arafah sehingga hujung waktu Asar hari ketiga Tasyriq.


  • Bertaubat dan menjauhi maksiat dan dosa. Ini kerana maksiat adalah punca kepada jauh dan terhindarnya seorang hamba dari rahmat Allah manakala ketaatan pula adalah punca dekat dan kasihnya Allah kepadanya.


Rebutlah peluang keemasan ini untuk mencari redha Allah. InsyaAllah ada keberkatan untuk setiap amalan yang kita lakukan dengan ikhlas.

Semoga artikel yang pendek ini dapat memberi sedikit manfaat kepada siswa dan siswi Gen9.
Selamat beramal dan selamat menyambut Eidul Adha kepada warga Gen9.


Wallahu A’lam.









Friday, October 21, 2011

Rahmah

(cerita di bawah adalah rekaan semata-mata. Jika terdapat persamaan maka ia adalah kebetulan)



“Eh, Mat kau nak keluar ke?” soal Din.

“ Ye, kenapa?” jawab mat acuh tak acuh.

“ Kau balik rumah bila ye?” tidak menjawab soalan sebaliknya menambah lagi soalan.

“ Agak-agak pukul 12.30. Emm… mungkin tak balik kot. Kau jagalah rumah ye..” ujar Mat.

“ Ok bye. Kalau nak balik call dulu. Aku selak pintu dari dalam” balas Din.



Tidak lama kemudian kedengaran bunyi pintu ditutup. Setelah itu Din pun berlegar-legar seisi rumah. Di selidiknya setiap isi rumah termasuk tandas, dapur mahupun bilik-bilik teman serumahnya. Setelah puas menyelidik dan memastikan tiada individu lain yang berada di dalam rumah melainkan dirinya dan Mimi, kucing peliharaan Mat, dia menarik perasaan lega.

“FUHH!!! Line clear!!!! Boleh la aku layan ‘benda’ tu” getus hati Din.

Din akhirnya mengeluarkan Macbook Air hadiah daripada ayahnya. Kemudian jarinya pantas menekan papan kekunci dan menaip sesuatu. Tidak beberapa lama kemudian dahinya berkerut dan dia mula menekan papan kekunci semula sambil tangan kanannya ligat memainkan tetikus.









"@$%^&*#!!!!!!! Time ni lak internet nak putus!!! @#$%^&!!! "hambur Din.

Dia bergegas ke ruang tamu untuk memastikan punca sebenar masalah yang berlaku. Diselidiknya modem putih yang terletak dibawah meja. Tiada masalah. Dicabut semua wayar dari modem tersebut dan dipasangkan semula tidak beberapa lama kemudian. Kemudian dia kembali ke biliknya bagi menyambung ‘hajat’ yang tidak terlunas.

Yes!!! Ada gak akhirnya”

Tidak beberapa lama kemudian dia mengerutkan dahinya kembali. Masalah yang sama berulang kembali. Entah dari mana puncanya dia tidak pasti. Hendak kata selalu berlaku tidak pula. Kalau nak kata bil telefon dan internet tidak dibayar, baru sahaja semalam dia membayarnya. Jika modem pula yang rosak, baru sebentar dia membelek modem tersebut. Apa punca sebenar kepada masalah ini?


*********************************************************************************

Rahmah pengelak mungkar.



“….Itulah sebenarnya salah satu daripada RAHMAH Allah yang kita terlepas pandang. Selama ni kita selalu fikir rahmah Allah berlegar- legar daripada pemberian nikmat dan terlepas dari bala atau musibah. Bukankah Rahmah Allah itu luas? Hatta sehingga hamba-Nya hendak melakukan maksiat pun kadang-kadang kala disusahkan oleh Allah. Sebagai misalan, kalau nak mengumpat time tu la kita nak sakit gigi, nak meniru dalam dewan peperiksaan masa tu jugalah nota kita hilang atau jarak meja terasa jauh dan sebagainya…..”



Saya terpana seketika apabila mendengar ceramah yang diberikan oleh seorang penceramah yang pernah saya hadiri satu ketika dulu. Saya menipu jika saya katakan saya tak pernah melakukan dosa dan sebagainya. Saya manusia biasa dan tidak sunyi daripada melakukan kesilapan (tapi tidak bermakna kita boleh tegar untuk mengulanginya) dan saya rasa seolah-olah terpukul dengan beberapa siri flashback, tiba-tiba sahaja menerjah masuk ke kotak fikiran yang mengenangkan kembali rahmah yang Allah telah berikan kepada saya. Pastinya kalian ada cerita yang sama.


Rahmah dalam musibah.
































Malah ada dua peristiwa besar yang berlaku dalam diri saya pada tahun ini. Pertamanya mengenai pemergian saudari Fatin Fasihah (Al-Fatihah untuk syuhadah ini) serta disusuli peristiwa saya terpaksa menduduki semula subjek biochemistry tidak lama selepas itu (terima kasih kepada saudara Siti Khadijah bt. Daud @akak CTK yang mengingatkan saya mengenai peristiwa ini dalam majlis GLOW with FLOW). Ya ia sangat sedih dan mengejutkan. Bagi orang semuda kita dan dalam kalangan kita ini telah Allah seru untuk kembali kepada-Nya. Dan lagi pedih serta mengejutkan bagi saya, subjek yang saya paling gemari malah tahun sebelumnya (tahun 1) saya berhasil mendapat mumtaz tapi sebaliknya saya mendapat rasib tahriri.

Benar !!!. Semalam telah menjadi sejarah seperti kata akak CTK. Beliau tidak rasa segan dan rendah diri untuk menyebut kisahnya yang terpaksa menduduki semula peperiksaan bagi subjek Mikrobiologi, tapi sebaliknya mengungkapkan bahawa sejarah yang berlaku adalah untuk dijadikan pengajaran dan muhasabah. Bermuhasabahlah bila ditimpa musibah. Kerana dengan itu baru kita sedar bahawa musibah yang ada ada pastinya bersebab (samada penguji atau penguat iman, kafarah dosa dan sebagainya) dan apa yang pasti adalah rahmah untuk kita kembali padanya dalam maksud untuk kembali melaksanakan perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Maka rugilah jika kita merungut dan bersungut mengenai rahmah yang Allah telah ‘hadiahkan’ . Saya pasti kalian ada peristiwa yang lebih kurang sama.

Rahmah dalam susah.

“Susahnya nak study untuk tahun 3 ni, subjek berat ngan masa tak cukup pulak tu..”
“Susahnya nak handle unit-unit PERUBATAN, orang lain duduk lepak lepas tu tau komen je..”
“Susahnya nak wujudkan biah solehah dalam rumah ni, hedonist ade, fasiq ade, hipokrit pon ade…”

ARRGGGHHHHHHHHHHHH!!!













Bak kata pepatah “ bersusah-susah dahulu bersenang-senang kemudian”. Senang sungguh mengungkapkan kalimah ini tanpa merasa sendiri beban di pundak orang yang menangggungnya. Ya kita boleh mengeluh ( walaupun tidak sebenarnya) tapi sampai bila. Adakah sebenarnya kita telah mencuba? atau jika kita telah mencuba adakah kita buat sehabis baik? Kesilapan kita adalah kita lebih memikirkan hasil yang berlaku daripada usaha kita yang tidak seberapa sebenarnya. Sedangkan kita tahu hasil dan natijah itu akan ditentukan oleh Allah. Misalannya bimbang tidak mumtaz dalam peperiksaan, unit dan tugasan gagal dijalankan dan rasa ‘syurga’ didalam rumah yang diidam menjadi neraka.
Maka fokuslah kepada benda yang pasti iaitu usaha dalam masa yang sama kita berharap dan berdoa kepada Allah terhadap benda yang belum pasti iaitu natijah usaha kita. Sebenarnya perkara-perkara diatas adalah antara yang saya alami dan pastinya kisah yang sama berlaku dikalangan kita. Sehebat mana pun kita, usaha kita tetap terasa kerdil dengan kudrat dan iradah Allah S.W.T. Maka dengan itu kita akan kembali kepada Allah dengan sebenar-benar kembali, dengan harapan rahmah Allah menaungi dalam sepanjang hidup kita. Sekian. Wassalam.



Salam perkenalan.

Ini merupakan penulisan pertama berbentuk artikel dalam sepanjang hidup saya bertujuan untuk disiarkan didalam blog ini. Jika tersalah bahasa, tersilap cara maka harap dibetulkan. Maklumlah budak baru. Penulisan yang tidak bermaksud apa-apa selain ingin menurut perintah Allah dalam berpesan-pesan dengan kebaikan. Harapan yang tinggi daripada saya agar penulisan ini bukan sekadar bacaan biasa, tapi akhirnya dapat menyentuh kalbu bagi orang yang alpa, mengejutkan orang yang lena, memberi teguh kepada orang yang bersungguh.

Untuk apa sekadar Tahu

Kalau tidak melahirkan Mahu
Apa guna TAHU dan Mahu
Kalau tidak melahirkan Mampu.