Saturday, August 13, 2011

Muhasabah Ramadan







Salam,


Hari ini sudah 13 Ramadan, sudah hampir setengah bulan kita menjalani ibadah puasa. Pasti ramai dalam kalangan kita sudah mengisi waktu Ramadannya dengan amalan soleh semaksima mungkin. Peluang keemasan digandakan pahala amalan soleh seharusnya tidak dilepaskan oleh setiap individu bergelar muslim. Oleh kerana Ramadhan semakin meninggalkan kita yang kadang kala lalai dan leka, ada empat perkara yang perlu kita perhatikan dan muhasabah hari-hari Ramadan kita yang telah berlalu. Masih ada masa untuk kita perbaiki.



1. Masa

Masa merupakan umur kita. Kita lihat betapa cepatnya masa berlalu. Jika sebelum ini kita sibuk bergelumang dengan buku-buku, sekarang ada di antara kita yang sudah mati kutu tidak tahu apa yang harus dilakukan untuk mengisi waktunya. Ada dua perkara yang penting di dalam membicarakan mengenai masa.

i. jangan masa berlalu dengan sia-sia
ii. jangan masa berlalu dengan dosa    (semua sudah faham kan, semua sudah besar panjang dan tahu menilai setiap tindakan dan perbuatan yang telah, sedang dan akan kita lakukan)

2. Amal

Kita juga perlu melihat dan memperbaiki di samping mempertingkatkan amalan kita. Amalan ada lima peringkatnya

i. amalan bentuk diri seperti sembahyang, puasa zakat dan sebagainya
ii. amalan bentuk keluarga seperti nafkah, menjadi isteri yang taat, menjadi anak yang taat dan sebagainya
iii. amalan bentuk masyarakat seperti menjaga keamanan masyarakat, amar makruf nahi mungkar
iv. amalan bentuk negara seperti mempertahankan negara, membangunkan negara selaras dengan agama dan sebagainya
v. amalan bentuk ummah Islamiyyah sekeliannya. Seperti membantu atau mendoakan saudara seIslam walau di mana mereka berada.

Ramai orang yang menjalani kehidupan tanpa amalan. Ada juga orang yang menjalani kehidupan dengan amalan yang dibuat dengan sambil lewa. Fikir-fikirkan.

3. Hubungan dengan Allah

Di antara tujuan Ramadhan ialah untuk ketaqwaan. Kemuncak sifat taqwa ialah pergantungan kita kepada Allah.

Ramai orang yang bergantung dengan harta mereka, sebab itulah jika harta habis mereka akan rungsing. Ramai orang yang bergantung dengan projek, sebab itu apabila tidak ada projek maka mereka akan rungsing dan mula lakukan apa sahaja untuk mencapai matlamat.

Oleh itu, kita perlulah menggantungkan hidup kita pada Allah. Orang yang mengantungkan hidup pada Allah tidak akan rungsing dan menderita jiwanya. Ini kerana Allah akan memberikannya jalan keluar bagi segala permasalahan dan memberinya rezeki dari sumber yang tidak di sangka. Bukankah Allah jadikan doa itu sebagai senjata paling ampuh bagi orang Islam?? Ayuh, gunakan senjata itu.

4. Rasa kehambaan

Rasa hamba adalah rasa tunduk di hadapan Allah. Orang yang tunduk di hadapan Allah, akan diangkat di hadapan manusia.
Ramai orang yang merasa rendah diri terhadap keduniaan dan manusia berkuasa. Hasilnya dia akan menderita jika miskin, menderita jika pakai kereta buruk, menderita jika tak cantik. Ini kerana dia rasa rendah diri terhadap unsur keduniaan di hadapan manusia. Hasilnya hidupnya terhamba di dalam kemerdekaan. Hilang ketenangan dan lenyapkah kebahagiaan.
Tunduk kita hanya pada Allah, bukan pada makhluk.

Segala apa yang dilalui, perlu selalu bermuhasabah. Saidina Umar mengatakan “hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab”. Semoga Allah akan terus menyelamatkan kita di dunia dan di akhirat.






p/s: Siapa-siapa yang rasa kebosanan tu,  boleh la cuba menulis sesuatu demi kebaikan bersama. InsyaAllah tak rugi apa-apa. Kongsi-kongsikan kat sini, xde la bersawang blog ni~

Is GEN09 MEMBER

Do things with passion or not at all.

2 comments:

Abul Akmal Arif Bin Anuar said...

hidup ajkt kebajikan !

fahmie said...

Kebajikan dijaga,
Iman terpelihara.