Sunday, May 31, 2015

Kes Denggi Kembali Meningkat!


KENYATAAN AKHBAR
MENTERI KESIHATAN MALAYSIA 
SITUASI SEMASA DEMAM DENGGI DI MALAYSIA
(Bagi Minggu 20 tahun 2015 dari 17 hingga 23 Mei 2015)
 6rtnRJJf_400x400
Pemantauan KKM menunjukkan bahawa terdapat peningkatan kes denggi sebanyak 16% setiap minggu sejak 2 minggu lepas di mana jumlah kes mingguan pada minggu ke 20 iaitu bagi tempoh 17 hingga 23 Mei adalah sebanyak 1,944 berbanding dengan hanya 1,675 kes pada minggu sebelumnya. Terdapat lapan (8) negeri yang menunjukkan peningkatan kes berbanding minggu sebelumnya iaitu Selangor 150 kes (16.6%), Perak 50 kes (36.8%), Johor 43 kes (30.5%), Negeri Sembilan 21 kes (95.5%), Sarawak 8 kes (36.4%), Kelantan 4 kes (26.7%), Kedah 3 kes (15.0%) dan masing-masing 1 kes di Perlis (100%) dan Sabah (100%).
Dari Januari hingga 23 Mei 2015, jumlah kumulatif kes denggi adalah 45,070 kes iaitu peningkatan sebanyak 35% (11,614 kes) berbanding dengan 33,456 kes untuk tempoh yang sama tahun 2014. Manakala untuk kematian denggi pula, bagi tempoh yang sama sebanyak 136 kematian denggi dilaporkan dengan peningkatan sebanyak 100% berbanding 68 kematian pada tahun 2014.
Bagi tempoh yang sama, jumlah lokaliti wabak dan hotspot turut meningkat, yang mana dari 501 lokaliti wabak pada minggu ke 19 kepada 595 lokaliti wabak pada minggu ke 20 iaitu dengan peningkatan 19% seminggu. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 70 lokaliti hotspot dilaporkan berbanding 65 hotspot pada minggu sebelumnya. Hotspots ini adalah 58 lokaliti di negeri Selangor, lapan (8) lokaliti di Perak, tiga (3) lokaliti di Pulau Pinang dan satu (1) lokaliti di Melaka.
Peningkatan kes ini adalah disebabkan oleh beberapa faktor seperti berikut :
  1. Faktor musim hujan yang melanda dikebanyakan negeri dan menyumbang pada tempat pembiakan nyamuk.
  2. Perubahan serotaip virus denggi (serotype shift) pada hujung bulan April yang boleh menyebabkan peningkatan kes dan kematian beberapa bulan selepas itu.
  3. Persekitaran yang tidak bersih iaitu kadar pembiakan aedes yang tinggi dengan purata 1.5 hingga 2% setiap minggu, di mana menunjukkan tempat pembiakan nyamuk yang tinggi.
Screenshot 2015-05-29 15.44.57Screenshot 2015-05-29 15.45.27Dengan peningkatan tren kes denggi yang masih berlaku ketika ini, tindakan bersepadu oleh masyarakat dan semua pihak diperlukan melalui perlaksanaan aktiviti seperti berikut:
  1. Jawatankuasa penduduk dan ketua masyarakat perlu menganjurkan aktiviti pembersihan persekitaran terutama di kawasan hotspot dan wabak denggi.
  2. Jawatankuasa atau ketua masyarakat juga diminta mengingatkan atau memaklumkan setiap penghuni setempat agar menjalankan aktiviti “cari dan musnah” setiap minggu dan pastikan tiada tempat pembiakan.
  3. Masyarakat disarankan menggunakan repelen atau memakai baju lengan atau seluar panjang bagi melindungi dari gigitan nyamuk.
  4. Menyembur racun serangga aerosol di dalam rumah terutama di belakang langsir, bawah meja dan tempat gelap tersembunyi pada waktu 5-7 pagi dan 5-7 petang.
  5. Membuang sampah secara berhemah atau mengamalkan kitar semula.
  6. Tindakan bersepadu antara jabatan dan agensi di dalam aktiviti pencegahan dan kawalan nyamuk aedes.
Jika tindakan pencegahan tidak dilakukan oleh semua pihak kemungkinan wabak akan berulang dan tren peningkatan kes akan seperti bulan Julai hingga September pada tahun lepas.
Dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kawalan Denggi Pelbagai Kementerian pada 28 Mei 2015 juga telah memutuskan beberapa tindakan bersepadu khususnya di Lembah Klang bagi meningkatkan aktiviti kawalan, pencegahan dan penguatkuasaan Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975. Antara lain, tindakan bersepadu ini melibatkan:
  1. Pengkongsian sumber termasuk peralatan dan sumber manusia
  2. Tindakan kawalan dan pencegahan secara serentak
  3. Memastikan liputan Outdoor Residual Spray (ORS) bagi kawasan sasaran di kawasan Petaling mencapai 100% bagi pusingan pertama dan kedua.
  4. Meningkatkan aktiviti penguatkuasaan khususnya di tapak-tapak binaan.
Bagi aktiviti di Kuala Lumpur, ia akan diketuai Jabatan Kesihatan DBKL dan Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur-Putrajaya. Di kawasan Petaling, Gombak, Hulu Langat dan Klang akan diketuai bersama antara Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dan Jabatan Kesihatan Selangor. Manakala bagi pemeriksaan tapak-tapak binaan akan diketuai oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malayisa (CIDB) dan Unit Inspektorat dan Penguatkuasaan, Ibupejabat KKM. Pihak Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), RELA dan Polis DiRaja Malaysia juga akan membantu dalam operasi pemeriksaan tapak-tapak binaan.
Mesyuarat juga memutuskan untuk menguatkuasakan Seksyen 11 Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 di mana pemaju yang ingin menjalan projek-projek pembangunan diwajibkan mengambil langkah-langkah pencegahan vektor seperti yang telah disyaratkan di bawah seksyen yang berkaitan. Sekiranya didapati pemaju gagal membuktikan bahawa langkah-langkah sedemikan diambil, tindakan pendakwaan akan diambil dan didakwa di mahkamah.
YB DATUK SERI DR. S.SUBRAMANIAM
MENTERI KESIHATAN MALAYSIA
KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA 
29 MEI 2015
Screenshot 2015-05-29 15.24.28Screenshot 2015-05-29 15.37.54Screenshot 2015-05-29 15.24.53Screenshot 2015-05-29 15.25.01


Gen09 GEN09 MEMBER

Do things with passion or not at all.

No comments: