Saturday, March 29, 2014

SEJAM DALAM KEGELAPAN


Pembukaan

Kita betul-betul selesa dengan kehidupan kita sekarang, bukan? Kebergantungan kita kepada tenaga elektrik yang diperluaskan oleh Thomas Edison dan Nikola Tesla telah merevolusikan cara kita hidup dan bekerja. Tapi penghasilan elektrik memerlukan, di samping sumber semulajadi, tenaga fosil yang akan menambahkan jejak carbon (carbon footprint).


Pengenalan & Sejarah

Earth Hour (http://www.earthhour.org/), sebuah inisiatif secara sukarela telah dilancarkan oleh World Wildlife Fund (WWF) dengan matlamat memberikan kesedaran kepada penduduk dunia tentang environmentalism dan perubahan iklim.

Earth Hour menggalakkan orang ramai, kerajaan dan syarikat perniagaan untuk bertanggungjawab terhadap kesan yang ditinggalkan oleh manusia kepada alam.

Earth Hour mengajak kita untuk memadamkan lampu yang tidak perlu                 (non-essential lights) selama sejam, bermula dari jam 8.30 malam (waktu tempatan).

Aktiviti ini bermula pada 31 Mac 2007 di Sydney, Australia pada 7.30 malam. Sejak dari tarikh itu, Earth Hour telah dijalankan di seluruh pelusuk dunia, dengan peningkatan bilangan bandar yang terlibat setiap tahun.

2008
- Ulangtahun pertama melihat pertambahan mendadak bilangan negara kepada 35   buah dan 370+ bandar.

2009
- 96 negara dari 6 benua terlibat.
- Siaran 8TV di Malaysia dihentikan selama sejam bermula 8.30 malam.

2010
- 128 negara dan 4,616 bandar terlibat.
- Lampu dipadamkan untuk beberapa binaan seperti Big Ben, Eiffel Tower, Empire      State Building, Niagara Falls, Parthenon, Brandenburg Gate, Forbidden City dan      Sydney Opera House.

2011
- Penyertaan dalam Earth Hour mencecah rekod dengan 5251 bandar dari 135           negara. Dijangkakan ia telah mencapai perhatian 1.8 billion penduduk.
- Selain penyertaan dari tahun sebelumnya, binaan Golden Gate Bridge dan patung   Christ the Redeemer turut memadamkan lampu mereka.

Big Ben
Christ the Redeemer
Sydney Opera House
Empire State Building (New York)
Brandenburg Gate (Jerman)
Eiffel Tower
Golden Gate Bridge

2012
- Pada 31 Mac 2012, 7000 bandar dari 152 negara telah mengambil bahagian             (pertambahan paling tinggi sejak 2009).
- Earth Hour melancarkan kempen "I Will if You Will" yang mencabar orang ramai       untuk mengambil tindakan lanjutan selepas Earth Hour.

2013
- Penyertaan mendatar dengan 7000+ bandar dari 154 negara.
- Bekas Presiden Botswana berjanji akan menanam 4 juta pokok dalam tempoh 4       tahun sebagai menyahut cabaran "I Will if You Will".


2014
Earth Hour dijadualkan pada 29 Mac 2014.


Fokus pada tahun ini

Tahun ini Earth Hour melancarkan Earth Hour Blue, iaitu sebuah platform crowdsourcing & crowdfunding di mana orang ramai boleh memberi sumbangan kewangan kepada beberapa projek yang diselaraskan oleh Earth Hour. Ini dikira sebagai lanjutan kepada inisiatif memadamkan lampu yang telah berjaya mengumpulkan perhatian orang ramai untuk memelihara alam sekitar.

Kali terakhir penulis melihat laman https://earthhourblue.crowdonomic.com/, terdapat 16 projek daripada pelbagai cawangan WWF. Dari menghentikan pemburuan haram di Singapura, hingga pemetaan tenaga boleh baharu (renewable energy) di Kanada.


Kritikan

Sepertimana sesetengah dari kita, terdapat juga individu yang memberikan kritikan dan pandangan skeptikal terhadap Earth Hour.

Contohnya, suatu penerbitan mengatakan pembakaran lilin paraffin (apabila digunakan dalam tempoh sejam Earth Hour itu) boleh meningkatkan pembebasan karbon dioksida, bergantung sebanyak mana lilin dibakar. [Cadangan: Pilih lilin yang dibuat dari soya atau beeswax]

Terdapat juga pengiraan yang mengatakan bahawa menutup semua lampu rumah di seluruh dunia selama sejam hanya bersamaan dengan 20-minit pengeluaran karbon dioksida di China.

Pandangan lain ada mengutarakan bahawa penurunan mendadak tenaga elektrik (apabila Earth Hour bermula) diikuti kenaikan semula selepas itu akan meningkatkan kembali pengeluaran karbon dioksida, kerana aliran elektrik yang lebih besar diperlukan.

Namun begitu, Earth Hour tidak menjenamakan pergerakan itu sebagai "energy [or] carbon dioxide exercise", tetapi sebagai tindakan simbolik. Fokus utamanya ialah menimbulkan kesedaran. Kesedaran mampu bertahan lebih dari sejam.




























Earth Hour di Malaysia

Pada tahun ini pihak WWF-Malaysia menganjurkan Earth Hour pertama kalinya di Pulau Pinang . Melalui laman Facebook acara tersebut (https://www.facebook.com/events/502634626520189/?ref=5), peserta akan berjalan kaki waktu tempoh sejam dari Penang City Hall dan kembali, sejauh 3.5km.


Di Kuala Lumpur, menara berkembar Petronas tidak ketinggalan dalam menjayakan Earth Hour setiap tahun.

Menara berkembar Petronas & Menara KL


Penutup

Earth Hour adalah usaha yang dijalankan untuk memberikan kesedaran kepada orang ramai bahawa alam sekitar kita semakin terjejas. Usaha-usaha boleh digiatkan, dan usaha paling berkesan adalah bermula dengan kesedaran dalam diri penduduk bumi ini sendiri.

Jika program-program Earth Hour tidak langsung menambahkan ilmu dan kecaknaan terhadap isu alam sekitar dan tenaga boleh ubah, maka program itu hanya sia-sia kerana tidak mencapai matlamat sebenar WWF.

Penulis tinggalkan anda dengan video promosi Earth Hour 2012 di bawah.



Rujukan

  1. "Earth Hour 2014 FAQ." WWF Malaysia. WWF Malaysia, n.d. Web. 28 Mar. 2014.
  2. "Earth Hour 2014." WWF Malaysia. N.p., n.d. Web. 28 Mar. 2014.
  1. Earth Hour. Digital image. WWF Earth Hour. WWF UK, n.d. Web. 28 Mar. 2014.
  1. "Earth Hour." PETRONAS. N.p., n.d. Web. 28 Mar. 2014.
  2. Jr., Tom Zeller. "Earth Hour Is A Big Waste Of Time! Or, How Do You Solve A Problem Like Bjorn Lomborg?" The Huffington Post. TheHuffingtonPost.com, 22 Mar. 2013. Web. 28 Mar. 2014.
  3. "Landmarks Set for Record Earth Hour." WWF Global. N.p., 26 Mar. 2014. Web. 29 Mar. 2014.
  4. "Lights Go out at Petronas Twin Towers during Earth Hour." The Star Online. N.p., 24 Mar. 2013. Web. 28 Mar. 2014.
  5. "Malaysia Counting down to Earth Hour." WWF Malaysia. N.p., 17 Feb. 2009. Web. 28 Mar. 2014.
  6. Unger, David J. "Earth Hour 2013: Does It Really save Energy?" The Christian Science Monitor. The Christian Science Monitor, 23 Mar. 2013. Web. 29 Mar. 2014.

*Semua gambar adalah hak milik pemilik asal.

Aizzuddin Daud GEN09 MEMBER

Do things with passion or not at all.

No comments: