Hari ini hari apa?
Berapa hari bulan?
InsyaALLAH ramai antara kita yang bisa menjawabnya sepantas kilat.
Berapa hari bulan?
InsyaALLAH ramai antara kita yang bisa menjawabnya sepantas kilat.
Tetapi, jika ditanya
hari dalam kalendar hijriah, sudah pasti ramai yang mengerut dahi untuk
mengingatinya sebagaimana penulis sendiri. Manakala, kepala kita terngiang-ngiang
lagu bulan-bulan islam yang didendangkan oleh kumpulan Alarm Me.
Jika saya bertanya
kepada kalian bulan 6 dalam kalendar hijriah dapatkah kalian menjawabnya
sepantas kalian menjawab bulan Jun dalam kalendar masihi? Untuk makluman
kalian,sekarang kita berada di bulan Jamadil Akhir.
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Memandangkan hampir
seminggu lagi kita bakal memasuki bulan Rejab, penulis ingin serba sedikit berkongsi
mengenai peristiwa-peristiwa penting yang berlaku dalam bulan Rejab.
Ada apa dengan Rejab?
Bulan Rejab adalah
bulan yang ke-7 dalam sistem kalendar Islam dan merupakan salah satu daripada
bulan-bulan Haram.
Firman Allah SWT: Sesungguhnya jumlah bulan menurut Allah ialah dua belas bulan, (sebagaimana) dalam
ketetapan Allah pada waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya ada
empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu
menzalimi dirimu dalam (bulan yang empat) itu, dan perangilah kaum musyrikin
semuanya sebagaimana mereka pun memerangi kamu semuanya. Dan ketahuilah bahwa
Allah beserta orang-orang yang takwa.
(At-Taubah:36)
(At-Taubah:36)
Rejab
membawa maksud bulan yang dibesarkan dan dimuliakan. Masyarakat Jahiliyah
menamakan bulan ini dengan bulan Rejab kerana mereka memulia dan menghormati
bulan ini dengan mengharamkan peperangan.
Antara
peristiwa-peristiwa penting yang berlaku dalam bulan Rejab:
1.Hijrah Pertama
- Hijrah ke Habsyah (Ethiopia). Pihak musyrikin Mekah meningkatkan tekanan
dan ancaman kepada kaum Muslimin dan Rasulullah SAW. Maka, Rasulullah SAW memerintahkan
kepada para sahabat agar mereka berhijrah ke negeri Habsyah. Jumlah mereka adalah 14 orang
termasuk 4 orang wanita. Diantara mereka
yang berhijrah ke Habsyah ialah Saidina Othman RA dan isterinya Roqiah puteri Rasulullah SAW. Habsyah dipilih oleh Rasullulah SAW adalah kerana rajanya dikenali dengan toleransi dan sikap terbukanya.
2. Isra' dan Mi'raj
- Isra’
ialah perjalanan malam Rasulullah SAW dari Masjidil Haram (Makkah) ke Masjidil
Aqsa (Palestin). Mi’raj ialah dari Masjidil Aqsa, Rasulullah meneruskan
perjalanannya ke alam langit menuju Sidratul Muntaha. Di Sidratul Muntaha,
Rasulullah SAW menerima perintah langsung dari Allah SWT untuk melaksanakan solat fardhu 5 waktu sehari semalam.
3. Perang Tabuk
- Perang ini telah berlaku pada bulan Rejab ketika tahun ke-9 Hijrah. Nama
perang Tabuk diambil sempena nama tempat di utara Semenanjung Arab, yang mana
Rasulullah SAW dan 30,000 tentera Islam berkumpul. Perang ini juga merupakan peperangan terakhir
Baginda Rasulullah SAW.
4. Pembebasan Baitul-Muqaddis
- Baitul Muqaddis
telah dibuka pada zaman Saidina Umar Al-Khattab RA di zaman pemerintahannya.
Akibat kelalaian dan perpecahan umat Islam di zaman pemerintahan Abasiyah,
umat Kristian (tentera Salib) telah melakukan serangan demi serangan ke atas
Baitul Muqaddis dan akhirnya dapat menawan kota suci Baitul Muqaddis setelah
500 tahun dikuasai oleh pemerintahan Islam. Tentera Salib telah menduduki
Baitul Muqaddis hampir 60 tahun sebelum dibebaskan kembali oleh panglima Islam
terkenal Salehuddin Al-Ayubi. Beliau telah berjaya menawan kembali Baitul
Muqaddis dari tangan tentera Salib pada hari Jumaat, 27 Rejab 583H. Dan pada
tahun 1967 bersamaan 1387H umat Yahudi pula menawan Baitul Muqaddis (Palestin)
dan menamakan negara baru mereka dengan nama Israel.
5.
Lahir
IMAM SYAFIE R.A
- Nama sebenar Imam Syafie ialah Muhammad bin Idris bin
Abbas bin Uthman bin Syafie’. Beliau lahir di Ghazzah, Palestin pada bulan
Rejab tahun 150 hijrah. Beliau adalah salah seorang dari empat imam mazhab yang
besar dalam dunia Fiqh.
Selain itu, sebahagian daripada kita menyambut bulan Rejab dengan berdoa dan menjadikan bulan ini sebagai
momentum mempersiapkan diri menyambut Ramadhan. Oleh itu, alangkah manisnya, jika amalan-amalan sunat yang umum yang masih kita belum
berkesempatan untuk mengamalkannya, kita praktikkan di bulan Rejab ini sebagai persediaan kita
menjelang Ramadhan al-Mubarak. Diantaranya solat malam, qiamul-lail, puasa
Isnin dan Khamis, tadarrus al-Qur'an dan lain-lain lagi.
Imam al-Thabrani meriwayatkan daripada Anas bin Malik, apabila tibanya
bulan Rejab, Baginda mendoakan: “ Ya Allah, berkatilah hidup kami di bulan
Rejab dan Syaaban dan sampaikan (hayat) kami kepada bulan Ramadan.”
No comments:
Post a Comment