Saturday, April 27, 2013

[Laporan] Perjumpaan Majlis Tertinggi Batch bersama Encik Zikril



Mohandiseen, 18 April 2013 – Satu pertemuan antara Majlis Tertinggi Batch dengan Encik Muhammad Zikril Azan bin Abdullah selaku pegawai JPA telah berlangsung di Pejabat Kedutaan Besar Malaysia Kaherah. Pertemuan yang berlangsung selama hampir 3 jam itu dimulakan dengan sesi taaruf oleh ahli Majlis Tertinggi Batch bersama Encik Zikril, yang kemudiannya disusuli dengan perbincangan mengenai masalah dan isu yang timbul dalam kalangan ahli batch.

Majlis Tertinggi Batch telah membawa beberapa isu yang dibangkitkan oleh ahli batch Gen09 sendiri untuk disampaikan kepada Encik Zikril. Isu pertama yang dibangkitkan adalah berkaitan permohonan pembaharuan passport di Mesir, memandangkan kebanyakan ahli Gen09 akan tamat tempoh sah passport sekitar Mei tahun hadapan. Menurut Encik Zikril, permohonan untuk memperbaharui passport di Mesir hendaklah dibuat selewat-lewatnya tiga bulan sebelum tarikh tamat tempoh dan permohonan hendaklah dibuat di Pejabat Kedutaan Besar Malaysia Kaherah. Selain itu juga, pelajar tidak dibenarkan untuk keluar dari Mesir enam bulan sebelum tamat tempoh sah passport melainkan untuk pulang ke Malaysia.

Timbalan Ketua Batch, saudari Nur Syafekar binti Zaini turut mengajukan soalan berkenaan kewajaran  penggunaan kad ATM untuk mengeluarkan wang elaun. Secara ringkasnya, Encik Zikril menjelaskan tiada masalah sekiranya ada pelajar yang ingin berbuat demikian. Pelajar hanya perlu membuka akaun baru kerana wang elaun akan dimasukkan ke akaun baru tersebut dalam mata wang genih.

Berkenaan isu kondisi kelas yang kurang selesa, Encik Zikril turut memberikan perhatian yang sewajarnya mengenai masalah tersebut. Ujar Encik Zikril, beliau akan turut memanjangkan masalah tersebut kepada Timbalan Dekan Universiti Kaherah, Dr. Amina. Juga, masalah ponteng kelas yang semakin berleluasa turut ditimbulkan. Jika masalah ponteng kelas ini masih berterusan, pihak JPA boleh bertindak untuk menyekat kemasukan elaun pelajar tersebut.

Antara isu lain yang turut dibangkitkan adalah berkenaan prosedur permohonan perkahwinan dan kenaikan elaun. Permohonan untuk berkahwin hendaklah disertakan bersama borang permohonan berkahwin, kebenaran ibu bapa dan salinan keputusan peperiksaan. Encik Zikril turut menasihatkan agar membuat persiapan dari segi mental dan fizikal kerana tanggungjawab akan bertambah selepas berkahwin. Berkenaan kenaikan elaun pula, pihak JPA akan mengkaji semula kadar elaun setiap lima tahun. Sebarang perubahan pada kadar elaun akan dimaklumkan oleh pihak JPA.

Sebagai penutup, Encik Zikril turut memberi peringatan mengenai isu keselamatan yang semakin meruncing di Mesir. Beliau mengingatkan pelajar agar tidak ambil mudah tentang keselamatan diri walaupun terdapat ramai pelajar Malaysia di kawasan Sayyeda Zainab. Beliau juga berharap agar pertemuan bersama jawatankuasa batch ini bukanlah pertemuan yang terakhir, dan sebarang masalah boleh diajukan terus kepada beliau.

Sesi pertemuan diakhiri dengan penyampaian hadiah hari lahir kepada Encik Zikril oleh Ketua Batch, saudara Afifi Syamil bin Abdul Razak. 



Disediakan oleh,

Nurul Aisyah binti Muda
Setiausaha,
Jawatankuasa Gen 09 2012/2013

aisyah GEN09 MEMBER

Do things with passion or not at all.

No comments: