Saturday, April 14, 2012

TEWAS



Penggera yang dipasang di telefon bimbit berbunyi menandakan waktu sudah pukul 4.30 pagi. Kedengaran tiupan saksofon oleh Kenny G mengalunkan lagu “What A Wonderful World”. Sengaja aku pilih lagu tersebut sebagai nada penggera kerana nadanya yang agak tinggi dari mula lagu sehingga akhir.
Pantas tanganku mencapai telefon bimbit Nokia XpressMusic yang diletakkan di sebelah kepalaku. Ibu jariku pantas meraba papan kekunci telefon tersebut, mencari butang berhenti. Sekali tekan sahaja, suasana menjadi senyap semula.
“Sambung tidurlah,” bisik hatiku. “lambat lagi subuh habis...”
                 Aku terbangun. Bilikku separa cerah. Cahaya mentari menyuluh kegelapan bilikku melalui tingkap yang separa terbuka. Sambil tangan kananku menggosok mata, tangan kiriku menggapai telefon bimbit yang aku letak di sebelah kepala. Tertera waktu di penjuru kanan atas. 7.08 pagi.
“Eh, rasa macam sekejap sahaja tidur. Tak sampai setengah jam rasanya,”
                Lantas aku bangun dari katil. Aku mengambil tuala yang tersidai di penjuru bilik lalu aku pergi ke tandas untuk bersiap. Kuliah bermula pukul 8.00 pagi. Sebaik sahaja kupulas tombol pintu tandas tersebut, kudapati pintu itu berkunci dari dalam.
“Suaidi, cepat sikit,” ujarku dalam nada yang agak tinggi sambil mengetuk pintu tersebut sebanyak 3 kali. Biasanya dia yang mandi pada waktu begini.
“Muiz lah,” insan dari dalam bilik air menjawab.
“Tak kisahlah sesiapa. Cepat sikit,” aku membalas.


                Aku menunggu giliranku di depan pintu tandas. Aku termenung kosong memandangn refleksi diri pada cermin yang berada di depan pintu bilik air tersebut. Rambut kusut masai. Terasa diriku amat serabut. Tambah serabut apabila mengenangkan sudah banyak kali aku terlambat subuh. Rasa serba salah.
                Kebiasaannya, apabila aku berasa diri bersalah, akan aku cuba untuk menebusnya, walaupun sedikit. Pagi itu, setelah selesai membersihkan diri, bersiap dan qadha’ solat subuh, aku membaca 2 mukasurat daripada ketiga-tiga al-Quran yang aku miliki. Apabila keluar rumah, aku membawa beberapa keeping duit syiling untuk disedekahkan kepada orang-orang tua di tepi jalan. Di kuliah, aku cuba untuk memberikan sepenuh perhatian (walaupun kadangkala terbabas juga). Pulang ke rumah, akan aku belikan makanan untuk teman serumah.
                Aku tahu kesalahan meninggalkan solat tidak dapat ditebus, buatlah apa-apa kebaikan sekalipun. Tetapi norma manusia, apabila merasakan diri membuat perkara yang salah, kita akan cuba merasionalisasikan kesalahan tersebut dengan sesuatu yang baik. Seseorang yang suka menonton filem akan mengurangkan rasa bersalah dengan cara membuka buku sambil menonton filem. Walhal umum mengetahui, mana mungkin seseorang mampu menelaah pelajaran sambil menonton filem.
                Malam menjelang tiba. Mataku terpisat-pisat menahan rasa mengantuk. Mataku melirik jam dinding yang terletak di ruang tamu. 10.03 malam. Sudah sampai masa untukku tidur. Dengan pantas aku menutup komputer riba dan mencabut wayar pengecas yang dipasan ke komputer riba itu. Selepas terpadam paparan pada skrin komputer itu, perlahan-lahan aku merapatkan skrin ke arah papan kekuncinya.
Kemudian aku melabuhkan badan ke atas katil, sambil merasai betapa empuknya tilam dan bantalku ketika itu. Perlahan-lahan mataku terkatup, fikiran hampir melayang. Seminit kemudian aku terjaga semula kerana terlupa untuk mengunci penggera. Dengan segera aku mengunci penggera di telefon bimbit. Setelah selesai, aku memejamkan mata dengan segera. Dalam fikiranku hanya satu, iaitu aku berharap agar aku bangun awal esok dan solat subuh dalam waktunya. 

*****************
                Penggera berbunyi tepat pukul 4.30 pagi. Pantas tanganku menggapai telefon bimbit yang diletakkan di sebelah kepala. Ibu jariku meraba-raba punat untuk menghentikan deringan yang membingitkan telinga itu. Sekali tekan sahaja, suasana kembali sepi. 5 saat aku termenung seketika kemudian aku letakkan semula kepalaku ke atas bantal. Sekejap sahaja, fikiranku melayang ke alam mimpi.
“lambat lagi subuh habis...”

~INGIN berubah itu mudah... Untuk berubah itu payah~

Ahmad Shahir
Mantan Ketua Batch 2010/2011
Gen09 GEN09 MEMBER

Do things with passion or not at all.

No comments: