Friday, October 28, 2011

Zulhijjah..




28 Oktober 2011 = 1 Zulhijjah 1432

Sedar tak sedar kita dah masuk dalam bulan Zulhijjah, bulan terakhir sebelum melangkah ke tahun baru 1433 Hijrah dan juga bulan yang mempunyai banyak kelebihan.

Zulhijjah, bulan di mana berlakunya peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim untuk menyembelih anaknya, Nabi Ismail.

Bulan di mana Allah menjanjikan ganjaran berlipat kali ganda bagi hambaNya yang melakukan amal ibadat.

Bulan di mana 10 hari awalnya adalah sebaik-baik hari selepas 10 hari terakhir pada bulan Ramadhan.

Bulan yang mempunyai sebaik-baik waktu siang (Hari Arafah) sebagai pelengkap kepada sebaik-baik waktu malam (Malam Lailatul Qadar).

Juga, bulan ini termasuk dalam salah satu antara bulan-bulan haram yang empat.

Memang bulan Zulhijjah bukan bulan biasa-biasa, terutamanya 10 hari awalnya.

Imam al-Bukhari Rahimahullah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda bermaksud, 
“Tiada suatu hari pun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari ini – iaitu 10 hari Zulhijjah.” Para sahabat baginda bertanya, “Tidak juga Jihad pada jalan Allah (mengatasi kelebihan hari-hari tersebut)?” Ujar baginda, “Tidak juga Jihad di jalan Allah kecuali seorang yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun (kerana habis disumbangkan untuk memenangkan agama Allah)”






Terdapat banyak amalan yang sunat dilakukan pada bulan ini khususnya pada 1 hingga 10 Zulhijjah. Antara amalan yang digalakkan :

  • Berpuasa sunat khususnya pada 1 hingga 9 Zulhijjah. Hari yang terbaik untuk berpuasa adalah pada 9 Zulhijjah (hari Arafah), di mana Rasulullah telah bersabda tentang kelebihan khusus hari Arafah.


"Tiada hari yang lebih banyak Allah membebaskan hambanya lebih dari hari Arafah" 
(Riwayat Muslim).


Nabi SAW juga bila ditanya tentang kelebihan berpuasa pada hari Arafah ini menjawab, 
ia menghapuskan dosa yang lalu dan tahun kemudiannya.

  • Memperbanyakkan zikir 


Imam Ahmad r.a. meriwayatkan dari Ibnu Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, 
Tiada suatu haripun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari 10 Zulhijjah ini, oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil
 (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah)”

  • Memperbanyakkan amalan-amalan sunat lain seperti membaca Al-Quran, bersedeqah, solat sunat dan amalan-amalan sunat lain. Amalan-amalan tersebut, walaupun sedikit, tetapi amat disukai oleh Allah jika dibandingkan dengan bulan-bulan lain. 


  • Melakukan ibadah korban pada Hari Raya Korban dan hari-hari Tasyriq. Ia merupakan sunnah Nabi Ibrahim ketika Allah memerintahkannya menyembelih Nabi Ismail.
          Allah SWT juga ada berfirman :
         Sesiapa yang membesarkan syiar Allah (berkorban) maka ia adalah dari
         tanda ketaqwaan hati" (Al-Hajj : 32)

  • Disunatkan bertakbir pada waktu yang ditetapkan terutamanya selepas solat.  Ibn Abi Shaibah menyebut bahawa Saidina Ali K.W menunjukkan bahawa permulaan takbir bermula sejurus selepas solat Subuh hari Arafah sehingga hujung waktu Asar hari ketiga Tasyriq.


  • Bertaubat dan menjauhi maksiat dan dosa. Ini kerana maksiat adalah punca kepada jauh dan terhindarnya seorang hamba dari rahmat Allah manakala ketaatan pula adalah punca dekat dan kasihnya Allah kepadanya.


Rebutlah peluang keemasan ini untuk mencari redha Allah. InsyaAllah ada keberkatan untuk setiap amalan yang kita lakukan dengan ikhlas.

Semoga artikel yang pendek ini dapat memberi sedikit manfaat kepada siswa dan siswi Gen9.
Selamat beramal dan selamat menyambut Eidul Adha kepada warga Gen9.


Wallahu A’lam.









aisyah GEN09 MEMBER

Do things with passion or not at all.

2 comments:

Anonymous said...

;)syukran

Anonymous said...

arigato :)