Friday, December 14, 2012

Cerita Saudara Kita



Isu umat Islam seluruh dunia merupakan isu yang ‘tak lekang dek hujan, tak lapuk dek zaman’. Saban hari kita dihidangkan dengan pelbagai kisah mengenai penderitaan umat Islam di seluruh dunia. Isu Palestin yang tak pernah sunyi, begitu juga kisah saudara seagama kita di Syria, Rohingya,dan Patani yang ditindas dan diseksa oleh musuh-musuh Islam rancak dibualkan di dada-dada akhbar dan di laman sesawang.


Alhamdulillah, di Palestin kita sudah dapat melihat siri-siri kejayaan jundinya yang dikenali sebagai bridget Izzuddin Al-Qasam. Serangan dan hujanan peluru dari tentera Israel dibalas dengan teratur dan terancang oleh tentera Palestin.
Kita umat Islam sering tertanya-tanya bilakah peperangan yang berlaku di Gaza akan berakhir.Bila diumumkan genjatan senjata di Palestin, kita gembira, tetapi mereka, tentera Izzuddin Al-qasam sedih dan ada yang hilang semangatnya. Kerana apa ? Kerana hadaf mereka berjuang adalah untuk mendapatkan syahid Allah. Mereka hidup untuk mati, kerana mereka tahu mati itulah kerehatan buat mereka. Jauh berbeza tarbiah dan tadhiyah yang mereka tunjukkan jika dibandingkan dengan kita.

Tarikh 15 Mei 1948, merupakan tarikh yang tidak asing lagi dalam diari umat Islam di Palestin, Hari Nakhbah dimana negara haram Israel laknatullah diisyhtiharkan. Ramai umat Islam yang cakna tentang tarikh ini, namun jika ditanya tentang tarikh 6 Februari 1948, pasti ramai yang terpinga-pinga. Tarikh tersebut merupakan permulaan sejarah pahitdan hitam buat umat Islam di Burma. Daerah penempatan umat Islam yang dinamakan Arakan, yang didiami oleh etnik Rohingya telah diceroboh oleh tentera burma pada tarikh tersebut dan lebih kurang 200 000 penduduknya telah dibunuh dalam tempoh 3 hari.

Mengapa saya bawakan juga isu saudara kita di burma, sedang isu palestin hangat dibincangkan? Kerana penindasan dan kezaliman yang dilakukan keatas mereka, sama bahkan lebih dahsyat lagi jika dibandingkan dengan Palestin. Jika Palestin diserang, mereka mempunyai kelengkapan berperang yang boleh dikatakan lengkap. Namun saudara Rohingya kita tidak dibenarkan untuk menyimpan hatta sebilah pisau pun di rumah mereka. Mereka juga dilarang untuk mempunyai telefon bimbit. Cuba sahabat fikir, bagaimana mereka mahu mempertahankan diri mereka?

Siri-siri pencerobohan dan kekejaman yang dilakukan ke atas etnik Rohingya sangat zalim dan tidak berperikemanusian. Rumah mereka diceroboh, dipotong kaki setiap ahli rumah tidak kira muda atau tua. Kemudian mereka dibakar hidup-hidup bersama kediaman mereka. Masjid-masjid yang ada dimusnahkan, dan masjid yang berbaki langsung tidak berfungsi. Mereka tidak dibenarkan untuk solat jumaat, tarawikh mahupun solat fardhu. Selain itu, masyarakat Rohingya juga menghadapi krisis kebuluran yang sangat mebimbangkan kerana tiada sumber untuk mereka mendapatkan makanan. Kedai- kedai perniagaan milik umat Islam ditutup dan kedai yang ada milik penganut agama lain dilarang untuk membuat sebarang urusan perniagaan dengan umat Islam. Purata penduduknya yang mati kerana kebuluran adalah sebanyak 35 orang sehari. Sahabat, mereka juga saudara seagama dengan kita, namun mengapa kita lupa tentang mereka. Apakah darah umat Islam di Rohingya lebih murah berbanding darah umat Islam di negara lain?

Jumlah umat Islam diseluruh dunia sekarang hampir mencecah 2 bilion, namun kita ini ibarat buih-buih di lautan, banyak tetapi tidak berguna. Bangkitlah sahabat-sahabat sekalian, bangun dari mimpi dan lamunan kita, kerana kita punya banyak misi untuk dilaksanakan. Tenaga kita diperlukan untuk menegakkan kembali kalimah Allah dimuka bumi. Mari jadi orang yang cakna akan saudara-saudara kita di seluruh dunia kerana umat Islam itu ibarat satu badan, jika sakit satu bahagian maka bahagian lain akan turut merasai kesakitan tersebut. Mereka perlukan bantuan kita, adakah kita hanya akan duduk dan memerhati sahaja? Tepuk dada, tanyalah iman anda.

by : Wan Nhidayah
iekichan GEN09 MEMBER

Do things with passion or not at all.

No comments: