Khutbah ini disampaikan pada
9hb Zulhijjah,
tahun 10 Hijrah
di Lembah Uranah, Bukit Arafah.
"Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang
hendak kukatakan! Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan
kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini
dan sampaikanlah ia kepada orang yang tidak dapat hadir disini pada hari
ini.
Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap
bulan ini dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta
setiap orang muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan
kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun
agar orang lain tidak menyakiti kamu pula. Ingatlah bahawa sesungguhnya,
kamu akan menemui TUHAN kamu dan DIA pasti akan membuat perhitungan
ke atas segala amalan kamu. ALLAH S.W.T telah mengharamkan riba’. Oleh itu
segala urusan yang melibatkan riba’ hendaklah dibatalkan mulai sekarang. Berwaspadalah
terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk
menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu
tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.
Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai
hak ke atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya
mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak untuk diberi
makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu
dengan baik dan berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka
adalah teman serta pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu ke atas mereka
ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak
sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.
Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh
kata-kataku ini, sembahlah ALLAH, dirikanlah solat lima waktu sehari,
berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikankanlah zakat dari harta kekayaan
kamu. Kerjakanlah ibadah haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa
setiap muslim adalah saudara kepada muslim yang lain. Kamu semua
adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali
dalam taqwa dan beramal soleh.
Ingatlah, bahawa, kamu akan menghadap
ALLAH S.W.T pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan di atas segala apa yang
telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu
terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaaku.
Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau
Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru.
Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang
telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu
dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya,
necaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah ALQURAN
dan SUNNAHKU.
Hendaklah orang-orang yang mendengar
ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih
memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya
ALLAH, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-MU kepada hamba-hamba-MU.”
No comments:
Post a Comment