Thursday, March 29, 2012

Maknakan Perlakuan, Nilaikan Kehidupan



Maknakan Perlakuan,Nilaikan Kehidupan

Bukanlah ahli dalam bidang penulisan, kerana bimbang yang tertulis itu menyinggung sensitiviti mana – mana pihak. Jadi sebagai penyelesaian, saya meneutralkan penulisan. Saya menulis, dan ia ditujukan untuk diri. Andainya ada pengajaran untuk yang lain, jadikanlah amalan. Andainya kesilapan yang dikesan, jadikanlah sempadan.
Bismillah.

Bahagian I : Maknakan Perlakuan
Lain orang, lain ragamnya, lain lakunya. Sering berbicara, selalu mendengar. Tetapi sejauh mana bicara itu dimaknakan? Apa yang cuba saya sampaikan, perkataan yang dilafazkan, adakah kita fikirkan baik buruknya jika ia diucapkan? Kesan perkataan itu pada yang mendengar? Bagaimana pula dengan janji yang diikrarkan, sediakah kita untuk menepati janji itu?
Dalam penulisan sebagai contoh mudah, status update kita di Facebook, Twitter berkenaan isu Syria misalnya, adakah ditulis dengan kita memahami dan mendalami isu tersebut, atau sekadar mengikut trend semasa agar tidak dilihat tidak cakna atau tidak kisah dengan tangis duka rakyat Syria?
Dalam perbuatan contohnya bilamana kita mendirikan solat. Sememangnya khusyuk itu susah untuk dikecap, tetapi bagaimana usaha kita dalam menghayati berdirinya kita, rukuknya kita, sujudnya kita, duduknya kita dan akhirnya ucapan salam kita di penghujung solat? Ya, solat itu rutin harian yang biasa, tetapi solat itu juga alat perhubungan kita dengan Pencipta kita, Pencipta segala apa yang kita miliki sekarang. Sekiranya solat itu dianggap hanyalah sebagai beberapa perbuatan yang diulang – ulang tanpa kita fahami, tanpa kita rasai, hubungan kita dengan Allah itu ibarat seorang fakir yang lemah, yang sangat memerlukan bantuan, meminta dengan yang kaya, tetapi dengan muka yang terpaling, dada yang didabik.
Rumus simpulnya, rasionalisasikan tindakan yang akan diambil. Perbuatan yang sedang dilakukan hayati dan letakkan satu tujuan mengapa sebenarnya kita bertindak sedemikian. Perbuatan yang lepas pula, kita analisa dan muhasabah untuk masa yang mendatang.

Bahagian II: Nilaikan Kehidupan

Bahagian ini sebenarnya lebih kepada natijah bahagian pertama. Andainya perbuatan kita itu terancang, perbuatan kita itu dirasai dan dimaknakan, insyaAllah kehidupan kita di dunia ini lebih berisi dan bernilai. Dan dunia ini ladang cucuk tanam, akhirat itu hasil tuai. Sekiranya benih, biji yang disemai itu baik, tidak mustahil hasil tuai itu juga baik dengan izinNya.
Rumus simpulnya, tujukan semua tindakan kita untuk Allah, tekunlah ketika melaksanakannya, haraplah pada Allah untuk penerimaanNya dan bergembiralah kita ketika pembalasanNya di akhirat kelak, insyaAllah. Wallahu’alam.
p/s : sekali lagi ingin saya tekankan, saya menulis untuk diri. Kiranya ada kesilapan, menyinggung mana – mana pihak, maaf saya dahulukan dan tegurlah yang khilaf ini.=)

by: atiqah shakira..
ejahchan GEN09 MEMBER

Do things with passion or not at all.

1 comment:

Maya Dealove said...

Bahasanya mudah. Mesejnya pasti telah mengenai tepat ke jiwa-jiwa Gen 09.