Tuesday, April 5, 2011

SATU



“AHEAD: Awaken 1 Heart 1 Aim 1 Destiny”.

Kata-kata ini bermain di fikiranku. Kombinasi beberapa kata yang membentuk satu frasa. KESEDARAN, HATI, MATLAMAT dan TAKDIR. Tidakkah ia berhubungkait antara satu sama lain? Memang hebatlah sesiapa yang mencipta kata-kata ini. Disebalik istilah ini, terselit 1001 penjelasan dan mesej yang ingin disampaikan dan dapat dibuat iktibar. Jom tengok.

1. KESEDARAN (Awaken)

Apabila timbul kesedaran dalam diri seseorang, maka mulalah dia mencari kebenaran. Melakukan pembaharuan dalam diri. Orang yang berjaya mempunyai ciri-ciri kesedaran yang lebih, mereka sentiasa mempamer dan mempraktikkan kesedaran yang positif. Mereka tahu dan kenal pasti siapakah diri mereka sebenarnya.

Pada tahap dan taraf kehidupan manakah mereka berada ketika ini dan ke manakah haluan dan arah tujuan mereka.Mereka juga sentiasa sedar betapa sedikitnya dan betapa ceteknya pengetahuan mereka tentang ilmu keduniaan dan ilmu keakhiratan. Orang berjaya sentiasa berkeinginan untuk belajar menambah ilmu pengetahuan.

Orang yang bakal gagal pula adalah orang yang tidak sedar atau tidak mahu mengetahui keadaan di sekelilingnya. Mereka tidak sensitif terhadap kehendak atau perasaan orang lain, bahkan membuat perbuatan ikut suka hati mereka saja. Orang sebegini tidak layak untuk dihormati atau diberikan rasa hormat.

2. HATI (Heart)

Apabila mempunyai KESEDARAN dalam diri, tempat pertama yang akan dituju adalah hati. HATI adalah tempat terpancarnya perasaan suka, duka, benci, marah, gembira, sedih dan sebagainya. Hati ibarat raja yang mengarah seluruh anggota tubuh untuk mengikut perintah hati. Apabila hati dikuasai iman, amal yang dilahirkan adalah kebaikan. Namun, apabila hati dikuasai nafsu, maka amal yang muncul adalah keburukan. Pembaharuan yang paling utama yang akan dilakukan adalah bermula dengan hati sebab itu Rasulullah S.A.W. bersabda:

“Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Apabila daging itu baik, mak baiklah seluruh anggota, dan apabila daging itu rosak, maka rosaklah seluruh anggota. Ketahuilah, itulah hati.” (Hadis di riwayatkan oleh Bukhari dan Muslim)

Rasulullah S.A.W. bersabda lagi:

“Semua amalan itu bermula dengan niat dan setiap oang mendapat (pahala) berdasarkan apa yang dia niatkan.”

Hadis ini sudah cukup umum pada semua. Kita tahu apa itu niat. Apabila berbicara soal niat pasti ia berkaitan dengan hati. Betulkan?

MATLAMAT (Aim)

Setiap niat yang dilafazkan di dalam HATI pasti mempunyai tujuan mengapa dia berniat sedemikian. Ini bermakna dia telah menetapkan satu hala tuju yang kukuh sebagaimana yang diniatkan. Itulah MATLAMAT. Apabila matlamat sudah dibentuk, beberapa tindakan susulan akan diambil bagi merealisasikan matlamat itu.

3. TAKDIR (Destiny)

Kita tahu setiap MATLAMAT yang dibuat belum tentu dapat dilaksanakan. Meskipun ia rapi disusun. Mantap dirangka. Hebat dicipta. Semua itu sia-sia jika tanpa izin Yang Esa. Itulah TAKDIR yang Allah tetapkan. Kita kena yakin itu. Tetapi kita kena ingat, meskipun setiap sesuatu itu telah termaktub di Luh Mahfuz, kita diberi peluang mengubahnya. Kerana firman Allah Taala bermaksud:

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.” (Surah ar-Rad: ayat 11).

Justeru, KESEDARAN dalam diri perlulah bermula dengan HATI. Hati yang baik akan membawa kearah SATU MATLAMAT dimana disitu TAKDIR yang akan menentukan.

Pesanan: Maaf penjelasan agak menyimpang jauh dari apa yang anda sangkakan. Mungkin anda tidak menjangkanya. Ia lebih kepada satu muhasabah dan anjakan baru yang memberi persepsi dari sudut lain. Saja nak buat lain dari yang lain. Hehe.. Apapun kita masih lagi berdiri di atas moto yang SATU iaitu “AHEAD: Awaken 1 Heart 1 Aim 1 Destiny”!

puteramaahad91

Muhamad Huzaifah GEN09 MEMBER

Do things with passion or not at all.

1 comment:

mamat poyo said...

isi ada cuma kalau boleh diolah dengan lebih kreatif dan santai