Monday, December 15, 2014

KENYATAAN: INTEGRASI AKADEMIK KE DALAM SMART CIRCLE (SC)



KENYATAAN: INTEGRASI AKADEMIK KE DALAM SMART CIRCLE (SC)

Pada tahun ini, Unit Akademik akan melancarkan inisiatif untuk menyerap masuk slot berbentuk akademik dan kerjaya dalam waktu pelaksanaan Smart Circle (SC) ahli-ahli tahun 6. Perkara ini dirancang oleh sebab keperluan untuk mewujudkan kumpulan belajar (study group) yang mana ahli-ahli dapat berbincang berkenaan pelajaran dan mendapat pendedahan tentang isu dunia kesihatan.

Mewujudkan sebuah kumpulan belajar untuk ahli bukanlah suatu ikhtiar yang boleh diambil secara terburu-buru. Tanpa pertimbangan sewajarnya dengan mengambil kira situasi semasa boleh menggagalkan program seperti itu. Oleh itu, kami mengambil keputusan untuk menggunakan medium yang sedia ada iaitu Smart Circle. Smart Circle telah diadakan secara berkala, sudah mempunyai ahli-ahli yang disusun, dan mentor-mentor juga merupakan ahli yang terpilih. Kami berharap setiap ahli SC dapat memberi kerjasama kepada mentor-mentor dalam menjalankan slot akademik.

Program Integrasi ini juga dapat memberi nafas baru kepada kuiz akademik yang telah lama Unit Akademik sediakan saban tahun. Cabaran yang biasa dihadapi sebelum ini oleh kuiz dalam talian (online) dan kuiz bercetak kini sudah mampu dielakkan. Kami menjangkakan pengisian berbentuk kuiz (yang menjadi salah satu daripada pengisian Integrasi ini) dapat meningkatkan tahap komitmen ahli untuk menjawab soalan mingguan.

Sebelum melancarkan program ini, kami telah memilih empat buah kumpulan SC untuk mencuba pengisian yang kami sediakan bawah projek perintis (pilot project) untuk program Integrasi ini. Maklum balas yang kami terima daripada SC tersebut telah diambil kira dan menjadi panduan kepada penyusunan pengisian-pengisian yang akan datang, terutamanya apabila kami melancarkan program ini untuk seluruh ahli. Pihak Mentor Council (MC) juga telah maklum akan perkara ini dan telah meluluskan pelaksanaannya.

Sesi pertama program ini akan bermula dalam SC pertama anda untuk bulan Disember ini. Kami tetap akan membuka semua saluran perhubungan kami untuk menerima maklum balas daripada ahli dan mentor-mentor yang terlibat.


Marilah kita sama-sama mendoakan kejayaan program ini dan memohon agar kita semua dipermudahkan dalam menuntut ilmu. Kami di pihak Unit Akademik akan sentiasa memberikan khidmat yang terbaik sedaya mungkin. Terima kasih.

Disediakan oleh,                                                                                                       
          
AHMAD AIZZUDDIN BIN DAUD
Ketua Unit Akademik,
Jawatankuasa GEN 09 2014-2016.

 15 Disember 2014

Unknown GEN09 MEMBER

Do things with passion or not at all.

No comments: