PERHATIAN!
Artikel ini perlu dibaca oleh semua ahli
batch sekurang-kurangnya SEKALI SEBELUM HARI PENGUNDIAN.
Artikel ini juga perlu dibaca SEKALI LAGI oleh
calon yang menang SELEPAS KEPUTUSAN DIUMUMKAN.
Tujuan artikel ini ditulis adalah sebagai
peringatan untuk diri sendiri dan juga sahabat-sahabat sekalian. Sempena
pilihanraya yang berlangsung, saya mengambil kesempatan untuk berkongsi
perkara-perkara yang perlu dilakukan oleh orang yang kita semua akan pilih
sebagai pemimpin dalam batch kita. Maaflah kalau panjang sangat artikel ini.
PERTAMA:
Mewujudkan Suasana & Amalan
Pengabdian Mutlak.
Amalan pengabdian mutlak hanyalah kepada
Allah. Kepimpinan batch perlu mewujudkan suasana dan kondisi yang mengikut
syariat Allah taala semoga wujud dalam diri setiap ahli batch, bahawa setiap
tindak-tanduk mereka akan dipertanggungjawabkan oleh Allah. Bagaimana caranya?
Itu terpulang kepada pimpinan agar ahli sentiasa dapat merasakan kehadiran
Allah dalam hidup pada setiap saat dan ketika.
Saya berikan satu contoh mudah kesan
wujudnya suasana pengabdian ini.
Sebuah kisah yang diceritakan oleh Abdullah
b.Dinar, ketika beliau bersama dengan Saidina Umar al-Khattab berjalan ke
Makkah. Dalam perjalanan tersebut, mereka terserempak dengan seorang
penggembala kambing. Maka terjadilah perbualan berikut,
Umar: Wahai
penggembala, juallah seekor kambing.
Penggembala:
Aku ini hamba.
Umar:
Katakan kepada tuanmu bahawa kambing itu dimakan serigala.
Penggembala:
Tapi dengan Allah bagaimana? Adakah aku dapat menyembunyikan hal ini?
Umar menangis lalu membeli hamba itu dari
tuannya dan memerdekakannya. Lalu Umar berkata kepadanya,
“Perkataan itu
telah menyebabkan engkau merdeka di dunia ini dan semoga perkataan itu yang
memerdekakan engkau di akhirat kelak”.
KEDUA: Melaksanakan Tarbiyah & Pembentukan
Fikrah Ahli Batch.
Semua kepimpinan batch berperanan
penting untuk mentarbiyah dan membentuk
fikrah ahli batch. Bukankah ada Unit Pembangunan Insan? Kenapa perlu semua
kepimpinan batch pula yang jalankan tarbiyah? Antara sebabnya ialah,
- Pihak pimpinanlah yang sepatutnya memiliki kefahaman yang jelas, malah mengetahui tahap kemampuan dan keperluan ahli batch bagi mendokong visi dan matlamat batch. Ini penting supaya batch sentiasa bergerak atas landasan untuk menuju matlamat yang diinginkan.
- Dengan pembinaan fikrah yang mantap barulah kesatuan dapat dicapai. Kesatuan bukan sahaja sekadar berpakaian sedondon, main futsal bersama dan duduk bersama dalam majlis, malah perlu mempunyai sikap yang jelas terhadap beberapa perkara seperti tidak hadir ke kuliah, isu mahasiswa, akhlak sebagai ahli dan lain-lain.
Dalam batch, pimpinanlah yang sepatutnya
lantang dalam membina fikrah ahli. Keselarasan dalam fikrah (wihdatul fikri)
akan melahirkan keselarasan dalam tindakan dan pendirian. Ini merupakan satu
unsur kekuatan batch.
KETIGA:
Bertanggungjawab Dalam Pentadbiran
Batch.
Aspek pentadbiran dalam sesebuah organisasi
merupakan cerminan terhadap batch itu sendiri. Jika pentadbiran lemah, maka
lemahlah batch tersebut.
Hal ehwal pentadbiran batch bukanlah suatu
perkara mudah. Memiliki ketinggian ilmu (akademik) tidaklah menjadikan
seseorang itu pemimpin yang baik, walaupun ciri-ciri pemimpin yang baik tidak
dapat dipisahkan dengan tahap ilmu yang ada. Antara ciri pemimpin yang baik ada
disebut dalam surah Al-Qasas, ayat 26 yang bermaksud:
“Sesungguhnya
orang yang paling baik yang engkau ambil sebagai pekerja ialah orang yang kuat
dan dapat dipercayai (amanah).”
Namun, ada kemungkinan untuk pimpinan
tertinggal dalam meningkatkan ilmu. Oleh itu pimpinan harus berhati-hati agar
tidak tertinggal dalam aspek amal individu dan peningkatan ilmu bagi
memperkukuh daya kepimpinan yang ada.
KEEMPAT:
Kepimpinan Menjiwai Permasalahan Yang
Dihadapi Oleh Ahli-Ahli Batch .
Pimpinan batch bertanggungjawab mengetahui
dan prihatin terhadap masalah yang dihadapi oleh ahli. Bukan sekadar
mengetahui, malah cuba untuk bersama-sama menyelesaikannya.
Jika hendak diibaratkan, pemimpin yang adil
itu seperti ayah yang sayang pada anaknya, dia bekerja demi kebahagiaan
anak-anaknya. Pemimpin yang adil juga seperti ibu yang kasih dan bersikap
lembut serta beramah mesra dengan anak-anaknya. Tidak lain hanyalah untuk
melihat anaknya berjaya dan hidup bahagia.
Pihak pimpinan tidak boleh melebihkan aspek
tarbiyah, fikrah dan pentadbiran tanpa mengendahkan hal-hal kebajikan,
perumahan, akademik dan kerja-kerja ahli batch. Mengambil tahu hal ehwal ahli
batch perlu sentiasa diutamakan oleh pimpinan setiap masa.
PENUTUP:
Untuk pimpinan dan ahli batch, marilah kita
sama-sama menghayati dan mengambil pengajaran daripada kisah di bawah ini.
Apabila Umar ibn Abdul Aziz
dilantik menjadi Khalifah beliau berada dalam keadaan kesedihan selama dua
bulan kerana diberikan satu ujian untuk menguruskan ummah. Ia lebih
mengambil berat terhadap ummahnya daripada dirinya sendiri. Ia meneruskan sikap
yang sebegini hingga ke akhir hayatnya. Selepas wafatnya para 'ulama menanyakan
isterinya berkenaan diri Umar. Isterinya menjawab,
”Demi Allah
ia tidak bersolat sunat atau berpuasa sunat lebih daripada kamu semua, tetapi
demi Allah, aku tidak pernah melihat seorang hamba yang lebih takut kepada
Allah daripada Umar. Dia telah menyerahkan badan dan jiwanya untuk urusan
ummahnya. Ia menguruskan urusan masyarakat keseluruhan hari dan apabila malam
ada kerja-kerja yang belum selesai ia akan meneruskan tugasnya di waktu malam.
Di waktu malam ia akan solat sunat dua rakaat dan duduk memikirkan
tanggungjawabnya sambil air mata mengalir dari matanya".
Pengarang: Ahmad Kamil bin Ahmad Fahmi
No comments:
Post a Comment