perkongsian sedikit, rasa cam dah lama tak post sesuatu berfaedah, asyik copy&paste je kan...
artikel ni diadaptasi dari tazkirah dalam kelas baru-baru ni, sori la kalau dalam tazkirah cam xbape bez...
ok, nak berbicara isu 'semangat anak muda'...
Rata-rata kebangkitan rakyat di negara-negara Timur Tengah dipacu oleh anak muda. Semua orang sedia maklum tentang perkara ini. Tapi, isu yang cuba diketengahkan dalam entri ini ialah semangat yang dipamerkan oleh para 'syabab'(anak muda) timur tengah yang bangkit menentang kezaliman dan pemerintah yang zalim.
Cukupkah sekadar semangat? Cukup ke semangat kemudian terus berjaya dapat apa yang dihajati? Tentulah TIDAK! Entri kali ini akan cuba berkongsi ENAM perkara yang harus bergerak seiring dengan semangat ANAK MUDA. Semoga setiap elemen ini bergerak sama tinggi dengan semangat yang tersemat dalam jiwa setiap diri kita. Semangat bukan sekadar dalam hati, harus diterjemahkan dalam bentuk tindakan. Setuju tak?
1. Kebangkitan ilmu dan pemikiran
Ilmu memang perkara paling asas dan paling penting. Ayat Al-Qur'an yang pertama diturunkan jelas menunjukkan betapa pentingnya ilmu. Ilmu sememangnya sangat luas. Tugas kita sebagai penuntut ilmu seumur hidup untuk menimba ilmu sebanyak mungkin sementara masih bernafas.
Suatu hadith Nabi SAW bermaksud, “Barangsiapa yang menghendaki dunia, maka dia perlulah menuntut ilmu. Dan barangsiapa yang menghendaki akhirat, maka dia perlu mununtut ilmu. Dan barangsiapa yang menginginkan kedua-duaAnnya, maka dia haruslah menuntut ilmu.”
Ilmu tidak perlu kita sempitkan hanya sekadar dengan membaca dan hadir ke kuliah. Banyak sumber ilmu sebenarnya, hinggakan kehidupan kita ini pun satu pelajaran sebenarnya. Ilmu ada di mana-mana, kita boleh belajar dari pemerhatian, mendengar, melalui perbincangan, pengalaman, dan bermusafir juga boleh meningkatkan pengetahuan kita.
Adakah kita mahu terus membiarkan orang bukan Islam menjadi jaguh dalam pelbagai bidang. Di mana ANAK MUDA Islam yang bersemangat itu? Ayuh buktikan bahawa kita mampu berjaya lebih jauh dan maju dari golongan bukan Islam.
Timbalah ilmu sebanyak mungkin dan sebarkan. Kita beruntung terutama yang berada di Mesir kerana peluang kita untuk menambah ilmu sangat luas. Nak dengan tak nak je kan. InsyaAllah, Allah akan permudahkan urusan hambanya yang ingin menuntut ilmu.
Bermula dari ilmu, akan timbul kesedaran...dari kesedaran akan timbul tindakan~
Islam&Iman+Ilmu+Usaha+Semangat+Strategi+Tanggugjawab+Kesungguhan+Kesatuan=Kejayaan
2. Kebangkitan jiwa, hati dan perasaan.
Darah muda cepat panas yang mengalir dalam setiap diri kita harus dipandu dengan oleh akal yang waras dan emosi yang stabil. Bukan kerana disebabkan kita anak muda, kita boleh pamerkan rasa marah dan tidak puas hati kita sesuka hati dan membabi buta sahaja. Hati harus dididik supaya tahan sabar dan boleh mengawal rasa marah. Kekuatan seseorang bukannya diukur atas kekuatan fizikalnya, tetapi diukur dari aspek kawalan perasaan dan emosi.
Hati kita juga perlu dididik supaya bencikan maksiat, kezaliman, penindasan dan sebarang ketidaktelusan. Sekiranya hati kita tidak berasa apa-apa apabila melihat sebarang kejahatan, itu maknanya hati kita ada masalah dan perlu dirawat(emergency).
Hati yang keras perlu dilembutkan. Jaga amalan wajib dan tinggalkan maksiat itu satu jalan yang paling mudah untuk diucapkan tapi sangat sukar diterjemahkan dalam rutin harian. Kita ini hanya hamba Allah yang biasa, seharusnya kita tambah amalan-amalan sunat dan sunnah untuk menampung segala kekurangn diri kita. Cuba amalkan sunnah Rasulullah dalam setiap perbuatan kita seharian dari sekecil-kecil perbuatan hingga sebesar-besar perbuatan. Rasulullah dah wariskan contoh terbaik untuk ikutan ummatnya.
3. Kebangkitan sifat kesungguhan dan disiplin.
Ini memang sangat kena dengan kita sebagai ANAK MUDA. Tambahan pula diatas pundak kita ada tugas sebagai seorang penuntut ilmu. Jadi harus jalankan tugas kita dengan bersungguh-sungguh sehingga selesai pengajian kita selama enam tahun setengah di bumi Anbiya' ini.
Rasulullah s.a.w sudah mempamerkan contoh individu yang paling bersungguh-sungguh dalam perjuangannya. Baginda sangat bersungguh-sungguh dalam dakwahnya hinggakan kita dapat menikmati nikmat iman dan islam saat ini. Tanpa sahabat-sahabat s.a.w dan para ulama sudah semestinya Islam tidak akan sampai kepada kita hari ini, setiap zaman sekiranya kita selusuri sejarahnya, kita akan dapat saksikan individu-individu yang sangat gigih dalam usaha memartabatkan Islam. Tidakkah terdetik dalam hati kita suatu hari nanti kita mahu menjadi seperti mereka? Gigih dan ikhlas memartabatkan Islam dalam pelbagai bidang.
4. Kebangkitan rasa tanggungjawab.
Setiap orang adalah pemimpin dan perlu bertanggungjawab atas setiap yang dipimpinnya. Semua manusia yang hidup di dunia adalah pemimpin, sama ada pemimpin besar atau kecil ataupun pemimpin kepada dirinya sendiri. Semua ada tanggungjawab dan peranan masing-masing. Kita akan jadi seorang yang tidak bertanggungjawab dan khianat sekiranya kita mengabaikan tanggungjawab kita.
Tunaikan tanggunjawab itu satu amanah. Kita sebagai seorang Islam bertanggungjawab untuk sebarkan Islam dan memartabatkan agama Allah ini. Semestinya tugas ini bukanlah satu perkara mudah, kerana tugas ini pasti akan ada halangan dan dugaan. Ujian-ujian inilah yang akan mematangkan kita dan menaikkan darjat kita disisi Allah. Tugas ini bukan untuk mereka yang 'manja'. Ini satu tugas yang serius dan tidak harus dipandang sambil lewa.
5. Kebangkitan persaudaraan dan kesatuan teguh.
Satu proses kebangkitan bukanlah kerja 'one man show'. Kebangkitan itu memerlukan satu kumpulan manusia atau 'jamaah'. Sesama Islam kita disarankan supaya menjaga hubungan sebaik mungkin dan mengelakkan persengketaan. Jika terdapat perbezaaan pendapat pun, ianya diselesaikan dalam medium akademik dan perbincangan bukannya diselesaikan dengan emosi dan cemuhan.
Islam mendidik ummatnya untuk kekal dalam satu barisan dan bersatu dalam amalan solat berjemaah. Ketika solat, umat Islam bersatu menunjukkan ketaatan kepada Ilahi, kenapa apabila diluar waktu solat, umat Islam perlu bercakaran sesama sendiri? Musuh-musuh Islam bersatu untuk jatuhkan Islam, sedangkan umat Islam sibuk memusnahkan Islam itu sendiri.
Islam itu pasti akan ada penjaganya. Kita mahu termasuk dalam golongan penjaga agama Allah. Kita tidak mahu Allah binasakan kita dengan bala dan azab, kemudian Allah gantikan kita dengan umat yang lain untuk menjaga agamanya.
Toleransi sangat penting dalam menjaga persaudaraan. Sekiranya Islam itu difahami sepenuhnya, kita dapat saksikan kembali ukhuwah yang terpamer antara Rasulullah s.a.w dan para sahabat dalam diri setiap ummat Rasulullah s.a.w.
6. Kebangkitan Islam dan pemerintahan sejagat.
Sekiranya, satu hari nanti umat Islam sedar tentang kepentingan ilmu dan mengejar ilmu seolah-olah orang yang dahagakan air, satu hari nanti umat Islam cintakan kedamaian dan bencikan kezaliman dan penindasan, satu hari nanti umat Islam bersungguh-sungguh menaikkan imej Islam, satu hari nanti umat Islam sedar tentang tanggungjawabnya kepada agama, dan satu hari nanti umat Islam bersatu-padu dan mempamerkan persaudaraan yang utuh, insyaAllah satu hari nanti kita dapat saksikan Islam akan kembali menguasai dunia ini, sistem Khilafah akan kembali tertegak di muka bumi ini, dan pada saat itu, hukum Allah akan dilaksanakan. Keamanan dan keadilan akan kembali tertegak.
Kenapa tidak kita jadikan 'satu hari nanti' itu adalah sebahagian dari hari kita, dan kita menjadi sebahagian daripada kemenangan Islam itu....
ataupun setidak-tidaknya, kita menjadi sebahagian daripada perjuangan panjang ini...ingatlah, pertolongan Allah itu pasti akan tiba...
Ayuh, jangan sia-siakan usia muda~
FightforJustice&Freedom
No comments:
Post a Comment