Monday, March 19, 2012

Baca dan Tadabbur



"Ayat Al-Quran kalau kita tadabbur maknanya kita boleh berenang-renang dalam lautan ilmunya."

Itu kata seorang ustaz yang saya kenal. Satu analogi tinggi yang saya sendiri tak dapat bayangkan.

Bagi siapa yang melazimi Al-Quran, nescaya ada satu waktu seolah-olah ayat- yang dibaca itu terkena dengan keadaannya. Kadang- kadang pula rasa persoalan- persoalan kita terjawab apabila membaca Al-Quran. Hatta kalau sampai ayat yang membicarakan orang kafir sedang diazab, ada orang yang meletakkan dirinyalah orang kafir yang disebut didalam al-Quran, maka berderailah air matanya, merayu dan merintih minta diampunkan dosanya oleh Allah.

Ada juga orang yang terkesan dengan ayat-ayat Al-Quran. Bila diseru " wahai orang yang beriman" hatinya lantas menyahut, pemikirannya terus berpusat kepada apakah yang ingin dibicarakan oleh Allah kepadanya dan orang-orang yang beriman itu?. Seolah-olah seorang pengikut setia yang sedang menunggu buah kalam dari ketuanya yang sangat dihormati ataupun seolah-olah seorang lelaki yang sedang menanti dengan penuh sabar bicara yang ingin ditutur oleh kekasihnya. Masakan sama kerana pasti lebih hebat lagi gambarannya.

Ada juga orang yang membacakan ayat al-Quran. Lalu melewati ayat al-Quran yang membicarakan tentang kisah-kisah para nabi- dan kisah orang terdahulu. Orang yang membacanya seolah-olah membayangkan dia memerhatikan kejadian-kejadian tersebut. Dia merasakan betapa dasyatnya banjir dizaman Nuh. Seolah-olah dia berada diatas kapal sambil memerhatikan balasan Allah yang dikenakan terhadap kaum Nuh. Syukur dan insaf. Tiada yang lain difikirkannya.

Mungkin dia juga membayangkan bersama dengan golongan Ashabul-Kahfi, golongan pemuda yang melarikan diri daripada pemerintah kafir dan zalim semata-mata kerana ingin menyelamatkan imannya. Betapa berhati-hatinya mereka dengan setiap tindakan, takut-takut dikesan oleh pengikut pemerintah tersebut. Betapa hanya Allah sahajalah pada masa tersebut tempat bergantung. Tiada yang dapat menyelamatkan mereka, daripada tombak-tombak dan pedang-pedang yang cuba memisahkan nyawa mereka kecuali Allah sahaja. Akhirnya mereka ditidurkan dan yang kufur dibinasakan.

Ada orang yang turut terkesan dengan kejadian alam yang dinukilkan oleh Allah didalam Al-Quran. Allah membicarakan tentang malam dan siang. Tentang bumi dan langit. Tentang matahari dan bintang-bintang. Mata mereka tidak dibutakan dengan pandangan dunia, seperti mana orang atheist atau kufur melihat bumi ini dengan pandangan kosong yang tidak menambahkan iman. Bagi mereka bumi ini lahir dengan sendiri.Tiada istilah yamg diciptakan dan tiada istilah yang mencipta.

Walhal bagi mereka yang mengesani kalam Allah, merasa terpanggil untuk berfikir tentang kejadian alam yang ingin dinukilkan. Kerana apabila mengagumi hebatnya penciptaan langit, matahari, bumi dan bintang, mereka memulangkan kembali rasa kekaguman itu kepada Allah selaku Penciptanya.Dan apabila mereka merasa takjub dengan segala kemajuan yang dbangunkan oleh manusia, segala teknologi dan bangunan pencakar yang dicipta dan dibina, mereka menyedari semuanya berpunca dari qudrat dan iradatnya. Betapa mereka menyantuni pesan nabi;

"Fikirkanlah kamu keadaan makhluk dan jangan fikirkan keadaan Khaliq" (Allah Yang Maha Menciptakan), karena kamu tidak dapat menmgukur kekuasaan-Nya". (HR. Abu Syaikh)


*********************

Nah! Apapun yang saya ceritakan ini adalah hasil perkongsian yang saya kutip daripada sahabat-sahabat saya yang menceritakan tentang tabiat orang mesir apabila membaca Al-Quran.

Mereka membaca al-Quran tidak kira tempat dan masa. Tidak kira jantina dan usia. tidak kira samada tahu atau tidak tahu membaca. Tapi mereka bertadabbur dalam membaca. Apabila solat berjemaah dan imam membaca Alfatihah, dan imam menangis maka kedapatan ramailah makmum yang menangis. Dalam suasana itu kadang-kadang orang melayu yang menjadi makmum kadang -kadang hilang identiti. Nak berdiam diri, nanti dikata keras hati. Nak ikut menangis tak tau apa punca untuk menangis atau nanti rasa berlakon pulak. Akhirnya dijadikan modal sedihnya makmum ini kerana tidak faham dengan makna Al-Fatihah dan menangisi diri atas kekurangan tersebut.

Maka itu yang ingin kita muhasabah bersama. Apakah yang membezakan pemahaman kita dengan pemahaman orang arab ini tentang Al-Quran itu misalannya Al-Fatihah. hendak kata tidak tahu maksud, rasa-rasanya kita memang maklum dengan terjemahan surah lazim tersebut. Jadi apa bezanya? Jawapannya kita tidak menjiwai apabila bacaan itu dibacakan. Kita hanya mendengar kosong apabila imam membacakan ayat-ayat Al-Quran. Mungkin akal dan hati kita dah lali dengan bacaan Al-Fatihah itu sendiri. Nau'zubillah.

Inilah budaya yang kita tidak mahu melekat dalam diri kita. Betapa ramai apabila kita lihat apabila sampainya bulan Ramadhan berlumba-lumba mengejar menghabiskan Al-Quran. Ada yang sekali. Ada yang yang 2 kali. Ada yang menabik dada mengkhatamkan 3 kali dan keatas. Tapi sayang ada kedapatan diantara mereka ini tidak mencerminkan langsung orang yang mengambil intipati daripada Al-Quran. Seusai Ramadhan berlalu, amalan mula membaca al-Quran mula ditinggalkan.


Maka saya mengajak kita bersama fikirkan kembali. Bagaimana dengan amalan kita membaca Al-Quran. Jika membaca pun jarang apatah lagi untuk mentadabbur. Sepanjang pengamatan saya, ramai orang yang hebat-hebat dalam batch kita selalu melazimi dengan bacaan Al-Quran. walaupun sibuk study, mesyurat dan hal-hal lain tapi masih ada ruang diperuntukkan untuk membaca Al-Quran. Alasan apakah lagi untuk kita mengatakan tidak. Sama-sama kita renungkan dan untuk itu saya ingin mengambil kesempatan memetik wasiat Hasan Al-Banna yang kedua iaitu:

اقرا القران او طالع الكتب اواسمع اواذكر الله ولا تصتف جزءا من وقتك بغير فائدة
Bacalah al-Quran , telaah buku-buku, atau dengarkan perkataan yg baik atau zikir kepada Allah. Dan janganlah membuang waktumu walau sedikitpun dalam hal yg tiada faedah

"Kalau kita ada masa berfacebooking, nape xde mase berholybooking (baca Al-Quran)."
Akhirnya apalah gunanya akal kalau tidak melahirkan tahu, apalah gunanya hati kalau tidak melahirkan mahu, apalah gunanya ada tahu dan mahu tapi masih lagi tidak mampu dek kerana tewas dengan nafsu. Wallahu'Alam.

futureavicenna GEN09 MEMBER

Do things with passion or not at all.

1 comment: