Sunday, May 23, 2010

MUSLIMS NOWADAYS


Assalamualaikum w. b. t.

Pertama sekali saya ingin memohon maaf sekiranya terdapat kekurangan pada pengisian ini. Hasil perbincangan dengan sahabat-sahabat, saya akan cuba untuk sampaikan perbincangan ini dengan penuh hemah dan semoga sahabat sekalian dapat mengambil sedikit sebanyak untuk dipraktikkan dalam kehidupan. Saya ingin menyatakan bahawa tajuk yang dikemukakan adalah terlalu luas dan tidak tercapai oleh pemikiran saya yang hanyalah insan kerdil yang sangat cetek ilmunya. Oleh yang demikian, saya telah mengecilkan skop perbincangan ini kepada situasi remaja Islam khasnya di Malaysia memandangkan belia merupakan tonggak utama perjuangan Islam. Merenung kembali peranan belia pada zaman Rasulullah, golongan muda seperti Saidina Ali Karamallah Wajhah, Saidina Osman Ibni Affan, Abdul Rahman bin Auf, Ibni Zubair, Ibni Abbas dan ramai lagi telah menjadi pelopor kepada kebangkitan dan penggerak kepada arus perdana perubahan masyarakat Islam.

Seperti yang kita maklum, agama Islam di Malaysia dari hari ke sehari semakin berkembang bukan sahaja pada jumlah penganutannya, malahan dari perspektif pengamalan ajaran Islam itu sendiri. Semakin ramai umat Islam yang mementingkan tuntutan syariat Islam dalam kehidupan seharian. Bagi yang benar-benar mengamalkan Islam, mereka sentiasa berlumba-lumba untuk menerapkan nilai Islam dengan sebaik mungkin. Antara aspek yang semakin ditekankan oleh masyarakat pada hari ini adalah penguasaan ilmu, dakwah islamiah dan usaha menyatupadukan umat Islam.

Remaja Islam kini menyedari bahawa, sebagai khalifah Allah dimuka bumi ini, manusia telah dipertanggungjawabkan untuk memakmurkan bumi berpandukan segala hukum dan syariat Allah dalam segenap aspek kehidupan. Oleh hal yang demikian, mereka bertindak untuk mempelajari pelbagai bidang ilmu yamg dianjurkan oleh Islam seperti ilmu Tauhid, Feqah, Tasawwuf dan lain-lain. Selain itu, semakin ramai yang berusaha untuk menguasai bidang ekonomi, perubatan, pertanian, sains, teknologi, pendidikan dan sebagainya. Justeru kesedaran terhadap tanggungjawab ini bakal membawa perubahan kepada ummah dan mengembalikan kegemilangan Islam kepada negara. Belia Islam itu sendiri memahami akan tanggungjawab dan fungsi mereka terhadap pembangunan dan penggerak kemajuan negara. Mereka berusaha menggunakan zaman muda remaja untuk menimba ilmu sebanyak mungkin dan mengamalkan Islam dalam kehidupan seharian sebagai persediaan menjadi pewaris kepimpinan dan kesinambungan umat masa hadapan.

Selain itu, semakin banyak persatuan islamiah yang dibentuk untuk menjalankan fungsi dakwah. Tunjang utama bagi pertubuhan-pertubuhan ini adalah para belia yang telah diasuh untuk menjalankan tanggungjawab individu muslim. Melalui pertubuhan seperti ini, remaja dididik dengan adab bersosial dan mengeratkan institusi umat islam tanpa mengira pangkat dan peringkat ilmu. Tambahan pula, terdapat golongan professional yang turut menyumbangkan pengisian dakwah melalui bidang masing-masing. Melalui pendekatan dakwah ini, masyarakat diajak dan diasuh untuk memahami agama Islam yang sebenar-benarnya. Tidak kurang juga ada individu-individu yang sedaya upaya mengelakkan fitnah kepada agama dengan mengamalkan ajaran dan sunnah Rasulullah iaitu dengan menjaga adab dan mengekalkan akhlak mulia dalam kehidupan.

Remaja Islam hari ini, telah menjadikan isu penyatuan umat Islam sebagai satu isu perdana yang sangat dititikberatkan. Bukan sahaja mensasarkan penyatuan dalam kalangan umat Islam di Malaysia malah, mereka berhasrat dan sedang giat berusaha untuk menyatupadukan umat Islam di seluruh dunia. Antara langkah terawal bagi merealisasikan hasrat murni ini, para remaja telah melibatkan diri dalam aktiviti membantu umat Islam di negara-negara yang ditindas. Sebagai contoh, menyokong seruan pemboikotan ekonomi ke atas barangan zionis dan pengikut mereka. Kemudian membantu mengumpulkan derma dalam apa jua bentuk untuk umat Islam Palestin melalui saluran rasmi ataupun badan-badan NGO. Mereka juga aktif mengadakan pameran-pameran mengenai Palestin di masjid-masjid, universiti, sekolah dan sebagainya. Hal ini jelas menunjukkan remaja kini mengambil berat isu umat Islam sedunia dan berusaha membantu semampu yang mungkin.

Walau bagaimanapun, bagai duri dalam daging, perkara yang sangat berpotensi untuk menjatuhkan kegemilangan Islam pada hari ini turut seiring terjadi. Ketika sesetengah golongan berkobar-kobar untuk mengagungkan Islam, pada masa yang sama, golongan yang lain masih leka dan tiada kesedaran akan tanggungjawab dalam melaksanakan Islam. Malah lebih teruk lagi, apabila wujudnya dalam kalangan remaja Islam sendiri yang bertindak menjatuhkan Islam. Bagai sudah terang lagi bersuluh apabila dewasa ini kita disogokkan dengan pelbagai masalah yang melanda remaja Islam. Daripada sekecil-kecil masalah, kepada sebesar-besar perkara yang telah dilakukan oleh ramaja hari ini. Isu dadah, rompak, rogol dan zina bukan lagi sesuatu yang besar untuk diperkatakan. Sebaliknya, remaja sekarang semakin berani memainkan agama dan tidak kurang juga isu murtad yang kian menjadi barah. Remaja yang telah terpedaya dengan fikiran atheist bukan sahaja tidak percaya kepada kewujudan Allah bahkan menghina agama Islam dan Al-Quran. Hal ini bukan sahaja merosakkan imej Islam malah, ia menjadi batu penghalang kepada usaha mengembalikan kegemilangan Islam hari ini.

Dalam pada itu, terdapat juga golongan pertengahan yang langsung tidak mengendahkan isu agama. Mereka hanya mementingkan keselesaan masing-masing dan tunduk kepada kebodohan diri sendiri. Mereka merelakan diri untuk mengikut telunjuk budaya barat seperti lembu dicucuk hidung. Kelompok seperti ini hanyalah meletakkan Islam hanya pada nama. Langsung tiada ciri-ciri Islam dalam diri, tidak mengamalkan adab mulia dan jauh sekali untuk menjadikan Al-Quran dan sunnah sebagai panduan hidup. Kita dapat lihat dengan jelas bagaimana golongan seperti ini terutamanya remaja, terlalu kecil pemikiran mereka. Amat menyedihkan apabila perkara remeh yang langsung tiada nilai dalam Islam seperti hiburan telah diletakkan sebagai perkara paling utama dalam hidup. Terlalu mengagungkan dunia fantasi seperti dunia lakonan, nyanyian, penulisan, anime dan sebagainya. Sekadar melepaskan batuk di tangga dan berbekalkan iman yang senipis kulit bawang, mereka hanya mengambil Islam dalam sesetengah aspek, tetapi jauh sekali untuk memikirkan tanggungjawab masing-masing dalam menegakkan agama. Hal ini jelas berlaku disebabkan kurangnya penghayatan tentang ajaran Islam yang sebenar. Tambahan pula dengan kurangnya pihak yang tampil untuk membenteras gejala hiburan yang melampau ini.

Kesimpulannya, umat Islam hari ini tidak boleh dinilaikan dari satu sudut sahaja. Pelbagai faktor boleh menyumbang kepada kegemilangan dan kejatuhan umat Islam kini. Oleh yang demikian, kita sebagai salah seorang belia Islam perlulah meletakkan diri kita sebagai pencetus, penggerak dan pembina tamadun Islam yang unggul dan dihormati oleh masyarakat dunia. Hal ini kerana remaja merupakan aset yang amat berharga serta merupakan tonggak dan kekuatan masa depan umat Islam. Tidak berguna jika kita mempunyai ilmu yang tinggi tetapi gagal memanfaatkannya ke arah kebaikan. Sebaliknya, jika kita mengambil inisiatif untuk melakukan perubahan ke arah kebaikan maka akan lahirlah generasi cemerlang dan negara yang terbilang yang akan menaikkan martabat agama dan kedaulatan negara di tahap yang tertinggi.

Wallahu’alam.

From:

Nurhawa Ilyani

Anonymous GEN09 MEMBER

Do things with passion or not at all.

No comments: